Khamis, 30 September 2021

Polis terima 2 laporan berita palsu pelajar meninggal kerana vaksin


Polis Perak hari ini menerima dua laporan polis berhubung berita palsu kononnya dua pelajar sekolah di negeri itu meninggal dunia selepas menerima suntikan Covid-19.

Kedua-dua laporan itu dibuat oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan Daerah Ipoh, dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, Ipoh, berkaitan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian dua pelajar SMK Tasek Damai, adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Siasatan awal mendapati kematian kedua-dua pelajar sekolah itu disahkan sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja dilaksanakan di Perak iaitu bermula 20 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya mangsa pertama merupakan seorang pelajar Melayu Tingkatan Lima yang meninggal dunia pada 18 Ogos 2021 di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), Ipoh akibat masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif Covid-19.

“Pelajar ini juga masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata pelajar kedua adalah lelaki Melayu Tingkatan Lima yang meninggal dunia pada 17 September 2021 di HRPB akibat masalah jantung berlubang, dan mangsa juga belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mior Faridalathrash berkata kematian kedua-dua pelajar itu disahkan sebelum PICK Remaja dilaksanakan di Perak bermula 20 September lalu.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima. Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam,” katanya.

Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 38 saat memaparkan seorang wanita sedang berucap kepada sekumpulan individu sebagai tanda solidariti untuk menuntut hak pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin COVID-19.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan vaksin, selain dua lagi pelajar di lokasi berlainan termasuk di Lahad Datu, Sabah, serta dua lagi remaja di Ipoh yang kononnya mengalami alahan serius selepas divaksin.

Tiada ulasan: