Isnin, 27 September 2021

Perisytiharan istitabah ‘ajaran mimpi terakhir’ esok

 Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SITTAH ANNUR

SHAH ALAM: Wanita yang mendakwa Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur, 39, akan mengistytiharkan taubat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, esok (Isnin )

Majlis pengisytiharan Istitabah itu dijadualkan berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam masjid berkenaan pada pukul 11 pagi.

Menerusi jemputan media Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), majlis berkenaan akan dihadiri Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar dan beberapa pengarah jabatan berkaitan.

“Atur cara majlis itu akan dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Ia kemudian disusuli Tausiyyah oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan pengisytiharan taubat Sittah Annur,” katanya.

Majlis itu akan diakhiri dengan acara menandatangani Dokumen Penyaksian Pengisytiharan Taubat.

“Selain Anhar, acara itu bakal disaksikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.

“Turut dijadualkan hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh,” kata jemputan itu.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai Sittah Annur yang mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita itu turut mendakwa dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa depan.

Selain itu, dia mendakwa boleh berhubung terus dengan Allah S.W.T, malaikat dan Nabi Muhammad S.A.W.

Pada 3 September lalu, Sittah Annur ditahan polis di kediamannya di sekitar daerah ini dan serbuan turut menemukan resit berjumlah RM84,721, dipercayai hasil sumbangan pengikutnya.

Wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis yang menunggu laporan daripada Jakim mengenai kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masing-masing kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: