Sabtu, 25 September 2021

Guna kod QR pada kit ujian kendiri Covid-19 untuk kesan keputusan negatif, kata pakar

Buat masa ini, butiran mereka yang membeli kit ujian kendiri Covid-19 
dari farmasi direkod.

GEORGE TOWN: Kod QR ringkas boleh menjadi jawapan kepada masalah keputusan ujian Covid-19 negatif yang tidak dilaporkan.

Mengulas kenyataan kerajaan bahawa kadar positif sebenar negara tidak digambarkan dengan lengkap, pakar virologi Kumitaa Theva Das daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tidak mustahil untuk mengesan semua keputusan kit ujian kendiri dengan penggunaan kod QR.

Setiap kaset ujian, secara idealnya, mempunyai kod QR dan nombor ID tertera. Individu yang membeli kit ujian patut dikehendaki merekod pembelian ke dalam MySejahtera dengan mengimbas kod QR.

Kumitaa berkata, aplikasi MySejahtera patut dinaiktaraf supaya pengguna dapat mengambil gambar keputusan ujian mereka menggunakannya. Kecerdasan buatan (AI) aplikasi berkenaan kemudian dapat menentukan sama ada keputusan ujian tersebut positif atau negatif.

Menurut kerajaan, kadar positif semasa mengambil kira hanya sampel yang diuji di makmal dan keputusan positif melaluit kit ujian kendiri.

Negara merekodkan kadar positif 13.1%.pada 21 Sept.

Kumitaa berkata, pendekatan yang disarankannya ini serupa dengan yang digunakan sebelum ini bagi ujian lentivirus di makmal, di mana gambar pita kaset mengandungi sampel dihantar untuk analisis menerusi aplikasi.

Buat masa ini, butiran mereka yang membeli kit ujian kendiri Covid-19 dari farmasi direkod dan segelintir ahli farmasi membuat panggilan susulan untuk memeriksa keputusan ujian.

“Menghubungi seseorang boleh membebankan ahli farmasi. Lebih baik ada sistem bersepadu di mana setiap kit dilengkapi kod dan keputusan dapat dianalisis melalui MySejahtera.

Aplikasi yang digunakan untuk pengesanan lentivirus, di mana gambar kit ujian diambil menggunakan telefon dan diproses.

“Telefon anda kemudian mengesan sama ada (keputusan) positif atau negatif. Konsepnya serupa dengan yang digunakan dalam banyak kit ujian pantas virus yang tersedia secara komersial menggunakan aplikasi telefon pintar.

“Setelah maklumat berada dalam sistem, sukarelawan di Pusat Penilaian Covid boleh menelefon untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya, sambil menambah, penting bagi setiap orang untuk melaporkan keputusan ujian Covid-19 di MySejahtera, walaupun ia negatif.

Menurut Kumitaa, aplikasi MySejahtera dapat digunakan untuk memuat naik keputusan dan bot sembang dapat bertanyakan soalan lanjut kepada pengguna.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa kerajaan agar menggalakkan orang ramai melaporkan keputusan ujian kendiri dengan memberi rebat, dan idea ini disokong Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Tiada ulasan: