Ahad, 26 September 2021

Sanggup tahan bau busuk, 'berperang' dengan nyamuk hutan

RANTAU PANJANG: "Biarlah saya berdepan bau busuk getah sekerap, 'berperang' dengan nyamuk hutan dan menghabiskan masa sibuk bekerja, demi mencapai cita-cita ke universiti."

Nur Amalin Syaffah Saman, 19, tidak menghiraukan jerih payah terpaksa ditempuhi dalam usaha mengumpulkan wang persediaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Gadis gigih itu sanggup meredah laluan berlecak dan berbukit dengan menunggang motosikal serba daif untuk ke kebun getah yang mengambil masa perjalanan kira-kira 30 minit dari rumahnya di Kampung Bukit Tandak, di sini.

Bagi Nur Amalin Syaffah, segala cabaran diharungi termasuk pernah luka di tangan akibat terkena pisau menoreh getah, tidak melunturkan semangatnya untuk membantu meringankan beban bapa, Saman Mohd Din, 40, dan ibu, Azilina Zakaria, 35.

"Setiap hari, saya ke kebun untuk menoreh getah bermula dari jam 7 hingga 11 pagi, dan sambung semula pada jam 4.30 hingga 5.30 petang. Masa saya seharian lebih banyak dihabiskan di kebun untuk membantu ibu dan ayah.

"Saya perlu menyediakan yuran pendaftaran memasuki universiti sebanyak RM2,000. Walaupun agak mustahil untuk saya dapat mengumpulkan wang sebanyak itu, sekurang-kurangnya saya berusaha.

"Pada awalnya, saya mahu melupakan saja hasrat untuk menyambung pelajaran kerana sedar berasal daripada keluarga tidak berkemampuan.

"Namun selepas dinasihatkan ayah, saya bersemangat untuk meneruskan pengajian demi mengubah nasib kepada kehidupan lebih baik," katanya.

Sebelum ini, anak sulung daripada lima beradik itu berjaya menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) dengan mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71.

Nur Amalin Syaffah mengaku sudah biasa hidup susah, malah rumah mereka tiada dilengkapi tenaga elektrik sendiri, sebaliknya menumpang bekalan elektrik dari rumah saudara.

Sepanjang tempoh setahun belajar di KMKt pula, beliau hanya menggunakan telefon bimbit dan tidak memiliki komputer riba, justeru terpaksa meminjam gajet itu daripada rakan untuk menyiapkan tugasan pengajian.

"Alhamdulillah, saya memperoleh keputusan cemerlang untuk dihadiahkan kepada ibu dan ayah. Saya berharap dapat mengekalkan kecemerlangan ini di UniSZA nanti.

"Jika tercapai hasrat menyambung pelajaran, saya berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapat keputusan cemerlang setiap semester, sekali gus mendapat kerjaya idaman kelak bagi membantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Semalam, mereka sekeluarga dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan kewangan, selain berjanji untuk membantu Nur Amalin Syaffah ke menara gading.

Tiada ulasan: