KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) bersedia menerima kepulangan hampir 10,000 pelajar yang menginap di kolej kediaman ke kampus bagi sesi akademik 2021/2022 bermula bulan depan.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata jumlah itu mewakili 80 peratus pelajar yang menginap di kolej kediaman UM.
"UM menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi proses kemasukan semula pelajar ke kampus.
"SOP berkenaan berdasarkan tatacara pengoperasian yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga selaras dengan keupayaan dan kesediaan universiti," katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Noraini mengumumkan kemasukan semula pelajar secara fizikal ke kampus, akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi, bermula 15 Oktober ini.
Pada masa sama, Mohd Hamdi berkata, pihak universiti juga akan memastikan langkah keselamatan dan SOP diutamakan bagi pelajar yang pulang dan kelonggaran atau pilihan kepada pelajar supaya menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus atau secara dalam talian (hibrid).
Beliau berkata, namun keutamaan diberi kepada pelajar yang memerlukan kemudahan kampus seperti keperluan penggunaan makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas.
"Diharapkan juga supaya semua pelajar dapat merasai suasana pembelajaran di kampus dalam keadaan yang sihat dan selamat dari segi mental dan fizikal terutama bagi pelajar yang berkeperluan untuk menjalani PdP secara bersemuka.
"Pihak pengurusan universiti berharap supaya dengan kemasukan pelajar UM secara berperingkat, para pelajar masih mematuhi SOP yang ditetapkan supaya rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan para pelajar menjalani proses PdP secara hibrid pada semester ini dengan jayanya," katanya.
Beliau berkata, walaupun SOP ketat dilaksanakan, UM tidak melupakan kebajikan pelajar dan sedang mengenalpasti bantuan yang dapat dihulurkan untuk memudahkan proses pulang ke kampus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan