Khamis, 16 September 2021

Lebih separuh penduduk dewasa Sabah lengkap vaksin

KOTA KINABALU: Sebanyak 53.9 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah menerima dua dos vaksin lengkap setakat kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata menurut statistik Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah, sebanyak 68.6 peratus daripada 2,758,400 penduduk dewasa menerima satu dos vaksin.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal empat angka.

"Jumlah kes positif baharu COVID-19 adalah sebanyak 2,015 kes, menjadikan jumlah kumulatif 179,311 kes," katanya.

Sebanyak 71 kes kematian dilaporkan iaitu 21 kes di Kota Kinabalu, 18 kes di Sandakan, 15 kes di Tawau, Lahad Datu dan Penampang masing-masing mencatatkan tiga kes, dua kes di Kota Belud dan Papar manakala satu kes di Kota Marudu, Putatan, Kalabakan, Pitas, Kinabatangan, Tuaran dan Keningau.

Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 1,943 menjadikan jumlah kumulatif 152,329 orang, manakala 4,520 pesakit sedang menerima rawatan.

Tiada ulasan: