PENAMPANG: Tiga termasuk dua beranak disahkan maut dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, dekat sini, petang tadi.
Mereka yang terkorban itu ialah Salmah Hamid, 25, anaknya, Dayana Zulazmil, berusia lapan bulan dan Rosatima Asbirin, lima tahun.
Bagaimanapun, tiga lagi mangsa ditemukan selamat dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.
Mereka yang terselamat ialah Risdah Jabin, 22, Norsirah Asbirin, 3 dan Juliana Zulazmil berusia satu tahun.
Semua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, tiga lagi mangsa yang selamat sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth ll (HQEll) untuk menerima rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3.57 petang.
"Kejadian tanah runtuh ini membabitkan enam mangsa. Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,
"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya hari ini.
Misran berkata, punca kejadian dan maklumat lain seperti hubungan mangsa masih dalam siasatan.
Katanya, hujan lebat yang berterusan sejak 12.30 tengah hari menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh dan banjir di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan