Khamis, 16 September 2021

Ancaman tanah runtuh di KL-Karak

 Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

TINJAUAN Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menerusi dron mengesan aktiviti pembalakan berhampiran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dalam kawasan Hutan Simpan Lentang di Bentong, Pahang. – GAMBAR IHSAN PEKA

BENTONG: Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berdekatan Lentang di sini berkemungkinan berdepan ancaman tanah runtuh yang boleh menjejaskan keselamatan mereka jika pembalakan di Hutan Simpan Lentang di sini tidak dihentikan.

Tragedi tanah runtuh yang membawa lumpur pada 11 November 2015 di KLK seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran oleh semua pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, Hutan Simpan Lentang adalah kawasan sensitif dan banyak kali berlaku kejadian tanah runtuh.

SHARIFFA SABRINA SYED AKIL

“Daripada tinjauan termasuk pemantauan menerusi dron, masih terdapat aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan Hutan Simpan Lentang dan ianya berhampiran KLK berdekatan Lentang.

“Kita (Peka) bimbang jika berterusan, akan berlaku runtuhan besar di kawasan hutan simpan yang sangat sensitif itu sekali gus boleh membahayakan keselamatan pengguna KLK,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, pihak bertanggungjawab khususnya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) perlu mengambil iktibar kejadian tanah runtuh sebelum ini dan memastikan ia tidak berulang lagi yang bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian tetapi kemalangan jiwa.

“Kerosakan yang dilakukan bagi membuat jalan balak di kawasan berhampiran lokasi tragedi 2015 lalu amat berbahaya kerana merosakkan alam sekitar dan boleh mengakibatkan tanah runtuh terutama pada musim hujan yang berulang.

“Peka memohon kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Alam Sekitar negeri dan semua pihak yang berkenaan supaya mengambil tindakan segera menyiasat apa yang sedang berlaku di dalam Hutan Simpan Lentang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman (gambar)berkata, pada Ahad lalu, beliau mengadakan lawatan ke tanah milik berhampiran Hutan Simpang Lentang di sini dan bertemu dengan pegawai dari Jabatan Hutan Bentong.

“Saya telah dimaklumkan bahawa aktiviti pembersihan tapak matau sementara yang telah diadakan di atas tanah ini adalah tidak sah kerana lesen untuk menduduki tanah tersebut telah tamat tempoh pada 31 Disember 2020 bukan pada 31 Disember 2021 seperti yang tertera pada papan tanda.

“Saya berharap Jabatan Hutan Bentong dan Pejabat Tanah Bentong akan mengambil tindakan yang tegas dan sewajarnya terhadap masalah ini. Saya juga berharap kepada pemilik tanah ini, walaupun ia adalah tanah milik persendirian, prosedur kerja yang telah ditetapkan perlu dipatuhi,” katanya.

Sementara itu Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam kenyataannya memberitahu semakan berkaitan isu ditularkan pada awal bulan lalu dan mandapati kawasan dimaksudkan merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus Tanah Milik yang terletak di dalam daerah Bentong dengan keluasan 3.59 hektar.

Kawasan lesen yang sama itu juga pernah ditularkan pada penghujung tahun lalu berkaitan pencemaran Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini.

Rentetan itu, JPNP mengambil tindakan untuk menghentikan sementara kerja di kawasan lesen itu bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut.

Kemudiannya, pihak pelesen telah membuat permohonan untuk menyambung semula lesen dan menggunakan jalan pengeluaran yang lain iaitu jalan lama kawasan bekas lesen Projek Talian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak dalam Hutan Simpan Lentang sebagai satu-satunya jalan alternatif ke kawasan lesen.

Sementara  itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membuat semakan berkaitan isu ditularkan pada awal bulan lalu dan mandapati kawasan dimaksudkan merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus Tanah Milik yang terletak di dalam daerah Bentong dengan keluasan 3.59 hektar.

Kawasan lesen yang sama itu juga pernah ditularkan pada penghujung tahun lalu berkaitan pencemaran Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini.

Rentetan itu, JPNP mengambil tindakan untuk menghentikan sementara kerja di kawasan lesen itu bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut.

Kemudiannya, pihak pelesen telah membuat permohonan untuk menyambung semula lesen dan menggunakan jalan pengeluaran yang lain iaitu jalan lama kawasan bekas lesen Projek Talian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak dalam Hutan Simpan Lentang sebagai satu-satunya jalan alternatif ke kawasan lesen.

Dalam kenyataannya hari ini, JPNP berkata, jalan pengeluaran yang akan digunakan itu pernah menjadi isu kerana dikatakan sebagai punca kepada bencana kepala air yang berlaku di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada November 2015.

“Hasil siasatan oleh Jabatan Teknikal pada masa tersebut mendapati bencana berlaku adalah disebabkan kadar hujan yang luar biasa di kawasan Lentang. Oleh itu JPNP telah meluluskan permohonan untuk memulakan kerja pada 15 Julai lalu dan juga permit jalan yang melalui Hutan Simpan Lentang serta permit matau kepada pelesen.

“Semakan oleh JPNP juga mendapati pelesen telah menggunakan tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) seluas 1.6 hektar adalah terletak bersebelahan kawasan lesen sebagai matau sementara, namun Pejabat Daerah dan Tanah Bentong memaklumkan lesen LPS tersebut telah tamat tempoh.

“Semakan oleh JPNP juga telah mendapati pelesen telah membuat bayaran untuk menyambung semula tempoh lesen LPS tersebut berdasarkan resit yang disertakan oleh pelesen kepada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong,” katanya kenyataan itu semalam.

Menurut JPNP lagi, hasil semakan di lapangan yang dibuat kakitangan PHD Bentong mendapati pelesen telah siap membina jalan pengeluaran ke kawasan lesen dan telah menjalankan kerja penebangan hampir 30 peratus dalam kawasan lesen.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: