Khamis, 16 September 2021

Bukit Bendera diiktiraf tapak rizab biosfera

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui Program 'Man and the Biosphere' (MAB) mengiktiraf Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga, hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pengumuman itu dibuat hari ini semasa mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa (ICC) MAB sesi ke-33.

Pengiktirafan ini adalah kejayaan buat Malaysia dan kerajaan Pulau Pinang khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mapan.

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai hubungan kebangsaan kepada program MAB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pulau Pinang atas pengiktirafan ini.

"Kementerian ini yakin bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera ini dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi yang ditetapkan melalui program MAB ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Foto fail NSTP
Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Foto fail NSTP

Sebelum ini, dua lokasi yang turut diiktiraf UNESCO di bawah MAB ialah Tasik Chini, Pahang pada tahun 2009 dan Banjaran Crocker, Sabah (2014).

Rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar adalah nadi hijau kepada Pulau Pinang dengan ia membabitkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuk Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin.

Setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam.

Hingga kini, terdapat 2,456 spesis tumbuhan, 131 spesis fungi, 300 spesis artropod, 157 spesis vertebrata, 26 spesis amfibia, 87 spesis reptilia, 150 spesis burung, 30 spesis mamalia dan lima spesis marin di kawasan itu.

Sebanyak 20 spesis flora dan 550 spesis fauna di kawasan ini disenaraikan sebagai terancam dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan Penang Island Rock gecko.

Tiada ulasan: