Khamis, 23 September 2021

Sesuatu yang besar bakal berlaku sehari dua ini – Firdaus Wong

Pendakwah bebas yang juga Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGASAS Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung yang telah mendedahkan bukti berhubung gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal kelmarin, memaklumkan sesuatu yang besar bakal berlaku dalam tempoh terdekat.

Gambaran itu dimaklumkan Firdaus Wong selepas mengadakan sesi pertemuan secara maya menerusi aplikasi Google Meet bersama mangsa-mangsa serta ahli keluarga gangguan seksual pendakwah terkenal berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya telah menerima banyak mesej memohon maaf kerana pernah bersangka buruk, menghina, memaki hamun, melabel dan memfitnah MRM sejak berkongsi mengenai isu pemangsa seksual.

Namun begitu, Firdaus Wong mengatakan pihaknya memaafkan semua yang pernah bersangka buruk dan memaki hamun kerana kejahilan serta ketaasuban yang menyebabkan emosional tinggi dan bertindak kurang rasional.

“Alhamdulillah semalam telah Google Meet bersama dengan mangsa-mangsa serta ahli keluarga mereka.

“Mereka memberikan kata-kata semangat untuk kami meneruskan usaha kami dan mereka mengucapkan Jazakumullahu Khairan kepada sahabat semua yang semakin terbuka mata melihat kebenaran.

“Insya-Allah sesuatu yang besar bakal berlaku dalam sehari dua ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Firdaus Wong berkata, tidak akan membalas provokasi dan cemuhan orang ramai yang terus-menerus melakukan sedemikian.

Kata beliau, tindakan yang dilakukan adalah secara bersama dengan tokoh akademik dan pakar dalam kefatwaan hukum daripada pelbagai manhaj seperti salafi, asyairah, maturidiyyah, pondok dan tabligh.

“Kami tidak akan membalas provokasi dan cemuhan anda. Kami doakan anda dikurniakan kesedaran agar perbuatan anda tidak menjadi penyesalan di Padang Mahsyar kelak.

“Kami memaafkan anda semua dan kami mencintai sahabat semua kerana Allah. Doakan keadilan tertegak. Ayuh bersama amar makruf nahi mungkar dengan cara yang makruf,” jelas beliau.

Kelmarin, buat pertama kali Firdaus Wong tampil mendedahkan bukti daripada seorang mangsa serangan seksual individu yang mendakwa sebagai seorang pendakwah terkenal.

Semua bukti tersebut didedahkan Firdaus Wong menerusi saluran aplikasi Telegram miliknya.

Menurut Firdaus Wong, mangsa berkenaan telah menghantar tangkap layar kiriman WhatsApp dan Instagram kepadanya meminta untuk berkongsi bukti tersebut untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Tiada ulasan: