Khamis, 23 September 2021

Saringan kendiri Covid-19 30 minit sebelum akad nikah

Hanya pasangan yang didapati negatif Covid-19 dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah mereka. GAMBAR HIASAN

BERKUAT KUASA hari ini, pasangan yang bakal menjalankan akad nikah di pejabat agama daerah (PAD) di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri 30 minit sebelum majlis berlangsung.

Hanya pasangan yang didapati negatif Covid-19 dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah mereka.

Perkara itu antara garis panduan terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri berkenaan.

Selain pengantin lelaki dan perempuan, wali dan saksi nikah juga diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian kendiri.

Pengarah JHEAIPP, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pasangan pengantin yang diterima bagi tujuan akad nikah pula tidak boleh melebihi 10 orang setiap hari bagi setiap PAD.

Jelasnya, pasangan pengantin yang tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri pula boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.

“Selain itu kesemua pihak perlu mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkah oleh PAD antaranya tempoh masa pelaksanaan akad nikah tidak melebihi 30 minit.

“Majlis boleh dibatalkan sekiranya ada pihak yang gagal hadir pada masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu kata beliau, kehadiran bagi majlis akad nikah dihadkan kepada tujuh orang sahaja termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi, ayah atau ibu pengantin lelaki dan jurugambar.

Tambahnya, semua permohonan perkahwinan luar negeri diterima dan hanya permohonan yang lengkap akan diproses.

Tiada ulasan: