Selasa, 21 September 2021

Proses ekstradisi Sajat sedang berjalan, kata Bukit Aman


Pihak berkuasa negara sedang dalam proses mengekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat yang sudah berjaya ditahan di Thailand baru-baru ini.

Beberapa isu berhubung dokumentasi dan perundangan perlu dilengkapkan sebelum Sajat dapat dibawa balik ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Sajat sebelum ini dikategorikan sebagai orang dikehendaki selepas Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu selepas kes berkenaan disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pada masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Peguam Negara dan Kementerian Luar untuk membolehkan proses membawa pulang Nur Sajjad berjalan lancar.

“Ia bagi memberi kuasa kepada pihak PDRM untuk membolehkan Nur Sajjad dibawa pulang mengikut saluran undang-undang antarabangsa.

“Berdasarkan maklumat kita terima, Muhammad Sajjad memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand bahawa beliau adalah pelarian selepas memiliki kad Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya dipetik dalam laporan media hari ini.

Abd Jalil menasihatkan Sajat supaya pulang secara baik supaya pendakwaan kes yang sedang dihadapinya dapat diselesaikan.

Tiada ulasan: