Selasa, 21 September 2021

Iktiraf Taliban, Malaysia ambil pendirian berhati-hati


Malaysia tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah satu kajian dan pendirian yang berhati-hati perlu diteliti terlebih dahulu memandangkan terdapat beberapa faktor yang perlu diambilkira sebelum Malaysia boleh menyatakan pendiriannya, ia termasuk tahap penerimaan rakyat Afghanistan terhadap penguasaan kerajaan Taliban dan pendirian yang ditetapkan secara bersama melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Saifuddin juga berkata setakat ini belum ada negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban, ia termasuk negara yang berjiran dengan Afghanistan itu.

“Selain itu, Malaysia juga percaya aspek keterangkuman amat penting bagi tujuan mencapai keamanan, namun kita dapati kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif.

“Saya ingin jelaskan, sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban, termasuk negara yang berjiran dengan Afghanistan.

“Seperti Malaysia, negara itu juga sedang meneliti perkembangan di sana (Afghanistan),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Lumut Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli yang ingin tahu sama ada Malaysia akan mengiktiraf Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban.

Saifuddin berkata, sehingga kini hanya terdapat dua rakyat negara ini berada di Afghanistan yang sedang berkhidmat dengan organisasi kemanusiaan antarabangsa.

“Mereka sudah melaporkan diri kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan berada dalam keadaan selamat.

“Mereka juga membuat keputusan untuk kekal berada di sana bagi meneruskan tugas dan pada masa sama, terus mengambil segala langkah bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: