Selasa, 21 September 2021

Skim persaraan swasta perlu ditambah baik: Menteri Kewangan


Segmen persaraan swasta secara sukarela sedia ada Malaysia, Skim Persaraan Swasta (PRS) perlu dimajukan lagi serta ditambah baik agar dapat mencapai rangka kerja lima tonggak berkaitan yang digariskan oleh Bank Dunia, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sehubungan itu, beliau berkata pasaran modal perlu memainkan peranan untuk mencapai objektif tersebut yang bertujuan melindungi risiko kemiskinan pada usia lanjut selain menangani isu kekurangan dana pencen pada tahun-tahun persaraan.

“Sejajar dengan pemulihan negara, adalah penting untuk turut memastikan bahawa pertumbuhan itu juga pelbagai serta memadai bagi membolehkan semua rakyat dapat sama-sama menikmati pertumbuhan berkenaan.

“Ini terutamanya ketika lebih ramai yang perlu membina semula (kehidupan) dan memastikan bahawa simpanan persaraan mereka kekal terjamin, lebih-lebih lagi ketika negara kita beralih kepada masyarakat yang menua,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada majlis pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 3 atau CMP3 (2021-2025) di sini, pada Selasa.

Rangka kerja lima tonggak Bank Dunia itu merupakan gambaran keseluruhan konsep sistem persaraan negara di serata dunia yang mentakrifkan pelbagai elemen reka bentuk bagi menentukan modaliti dan pilihan yang perlu dipertimbangkan.

Memetik Bernama, Tengku Zafrul berkata Malaysia komited untuk mempercepat peralihan ke arah ekonomi lebih hijau atau lestari serta menggalakkan pembangunan sosioekonomi negara.

Beliau berkata, seiring tindakan semakin banyak perniagaan menetapkan sasaran pelepasan sifar bersih masing-masing, akan mencetuskan keperluan pelaburan lebih besar ke arah usaha berkaitan karbon dan teknologi cekap tenaga bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Sehubungan itu, perkembangan tersebut memerlukan pembabitan pasaran modal untuk memainkan peranan bagi menggerakkan modal demi menampung peralihan berkenaan.

Tengku Zafrul juga mengingatkan kalangan korporat untuk menerima guna agenda tersebut atau berdepan risiko ketinggalan — tidak hanya disisihkan oleh pelabur tetapi juga institusi kewangan dan rantaian bekalan yang lebih meluas dan kerap memberi penekanan terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Kekuatan kita dalam segmen pasaran modal akan turut saling melengkapi peningkatan permintaan bagi pelaburan sedemikian.

“Malah, kewujudan persamaan antara nilai ESG dan Syariah turut memberi kelebihan nilai yang unik bagi merangka hala tuju mampan serta kewangan sosial Islam,” katanya.

Beliau berkata, bagi kemajuan masa depan serta meraih lebih banyak pelaburan domestik dan asing, adalah penting untuk menerapkan keyakinan terhadap pasaran modal dengan penambahbaikan dalam standard tadbir urus korporat akan terus membentuk integriti korporat.

Menurut Tengku Zafrul, ini termasuk penekanan dalam aspek kebertanggungjawaban terhadap pihak berkepentingan yang lebih melangkaui keuntungan dalam jangka pendek.

Tiada ulasan: