Sabtu, 25 September 2021

Malaysia, Singapura dalam proses iktiraf sijil vaksin

 zuhayati

Mudahkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara

MUAR – Kerajaan Malaysia dan Singapura kini dalam usaha untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara itu, dan pada dasarnya kerajaan Singapura bersetuju.

Buat masa ini Singapura agak berhati-hati untuk membuka sempadan antarabangsanya kerana kes COVID-19 dan proses vaksinasi kedua-dua negara masih belum selesai.

“Rakyat Malaysia mahu ke Singapura dan (rakyat) mereka juga mahu ke sini, ini kerana hubungan kedua-dua negara ini begitu rapat apabila ada sahaja urusan termasuk perniagaan yang berlaku setiap hari.

“Dan apabila sempadan tidak dapat dibuka, ia menjadi masalah besar,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Bersama Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, hari ini.

Sehingga kini aktiviti rentas sempadan kedua-dua negara yang dibenarkan membabitkan lori dan treler yang dibenarkan, setelah mendapat suntikan vaksin di Singapura.

Muhyiddin berkata, sekiranya perkara itu dapat diperhalusi dan mendapat persetujuan dan pengiktirafan Singapura, ia akan turut membuka peluang perbincangan melibatkan sempadan di negara lain termasuk juga Thailand.

“Sekarang ini dalam mana-mana peringkat mesyuarat kita akan berbincang waktu sempadan negara kita, bila ia boleh dibuka, sama ada kepada pelancong luar mahu pun rakyat kita sendiri.

“Kita juga akan meneliti daripada data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia, serta soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada isu rentas sempadan antara perkara-perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat MPN minggu hadapan. – Bernama

Tiada ulasan: