Sabtu, 25 September 2021

Kerajaan perlu pastikan peserta layak saja diberi MM2H

 Oleh Zuhayati Yazid

Jangan ada yang mohon untuk tujuan kerja, buat perniagaan

BANGI– Kerajaan perlu memastikan hanya yang benar-benar layak sahaja diberi kelulusan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Kerajaan mengaktifkan kembali program MM2H ini dengan beberapa penambahan syarat baharu, tujuannya menarik peserta berkualiti tinggi, di mana mampu menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Program ini membenarkan warga atau pesara negara asing yang memenuhi syarat menetap di Malaysia sebagai Rumah Kedua mereka.

MM2H untuk mereka dari negara maju yang telah bersara yang mahu hidup lebih selesa dengan pencen yang mereka dapat berbanding tinggal di negara asal kerana kos sara hidup kelas menengah di sini jauh lebih rendah.

MM2H juga untuk warga asing yang mampu membeli hartanah yang ditetapkan harganya, untuk ahli keluarganya menetap di sini, sementara ketua keluarga itu kekal bekerja atau berniaga di negara asal atas sebab kos kehidupan di sini lebih murah dari negara asal mereka.

Atas sebab itu, Setiausaha Agung, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, kerajaan perlu mengambil berat hal ini supaya mereka yang tidak layak tidak diberi kelulusan.

Katanya, PERKASA bimbang ada yang mengambil kesempatan menyalahgunakan MM2H demi tujuan lain.

“Kita tidak mahu yang memohon MM2H adalah mereka yang ada tujuan bekerja dan membuat perniagaan di sini,” katanya.

Pada masa sama, Syed Hassan turut mempersoalkan kenyataan pemimpin DAP, Hannah Yeoh yang menjangkakan banyak sektor akan terjejas akibat syarat-syarat yang ketat untuk kelulusan baru.

Katanya,menerusi sidang media Hannah Yeoh menekankan banyak rumah kepunyaan rakyat Malaysia yang disewakan kepada peserta MM2H akan terjejas apabila peserta tidak lagi mahu terus kekal sertai MM2H, sekali gus dilihat menjejaskan pendapatan negara.

“Kita jangan terlalu hadap sangat wang asing masuk tetapi negara menanggung masalah dari mereka yang menyalahgunakan kemudahan MM2H,” tegas Syed Hassan

Tiada ulasan: