Rabu, 15 September 2021

Kerajaan tak kejam, pelajar asing boleh perbaharui visa, kata KDN

Ismail Mohamed Said berkata, KDN tidak akan bertindak kejam dan keterlaluan 
tetapi akan memberikan khidmat nasihat yang sewajarnya. (Gambar Rawpixel)

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bertindak kejam dan akan terus membantu pelajar asing di Malaysia untuk memperbaharui visa masing-masing, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.

Katanya, ini supaya mereka boleh menyambung pengajian di negara ini dan mereka yang terlibat boleh berhubung secara terus dengan Jabatan Imigresen untuk urusan pembaharuan visa.

“Kita tidak akan bertindak kejam dan keterlaluan tapi kita akan berikan khidmat nasihat yang sewajarnya bagi membolehkan kerjasama antara negara dan negara luar kerana mahu menjadikan Malaysia antara hab pendidikan yang terkenal,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berhubung kedudukan pelajar asing yang sudah tamat visa.

Selain itu, Ismail turut menjelaskan yang pihaknya kini sedang bekerjasama rapat dengan negara sumber untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal dan dalam masa yang sama vaksinasi turut diberikan kepada mereka.

“KDN telah berhubung dengan negara-negara sumber dan bersetuju untuk kita membuat program penghantaran pulang untuk memberikan pengesahan dokumentasi mereka. Apabila mereka pulang dan mereka boleh buat proses untuk kembali ke negara kita.

“Kita tidak mengambil tindakan yang begitu sejam. Sebagai contoh, beberapa negara, Filipina, Indonesia ada puluhan program untuk penghantaran pulang telah kita lakukan. Ini mendapat kerjasama yang cukup baik dengan negara-negara sumber kita,” katanya .

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang bertanya tentang tindakan kerajaan berhubung pemberian vaksin kepada PATI dan dalam masa yang sama membuat tangkapan terhadap mereka.

Tiada ulasan: