Rabu, 15 September 2021

Pensyarah ditahan SPRM, disyaki beri kontrak kepada ahli keluarga

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai diambil keterangan 
pada hari sama.

PETALING JAYA: Seorang pensyarah kanan di sebuah universiti awam (UA) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian kontrak bernilai kira-kira RM46,000 kepada abang dan kakak iparnya.

Menurut laporan Berita Harian, pensyarah wanita bergelar “doktor” berusia sekitar 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 11 pagi semalam.

Difahamkan, kontrak itu membabitkan projek pembekalan barang pejabat dan pembelian serta penyelenggaraan mesin jahit di sebuah jabatan di universiti berkenaan pada 2015 sehingga 2017.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai diambil keterangan pada hari sama.

Penahanan pensyarah terbabit disahkan oleh Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi, namun beliau enggan mengulas lanjut kes berkenaan.

Tiada ulasan: