Rabu, 15 September 2021

Palsu sijil vaksin: 10 individu didakwa, seorang dipenjara

Ismail Mohamed Said berkata, seorang yang dihukum penjara kerana memalsukan sijil 
suntikan vaksin membabitkan kes di Sarawak.

KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan memalsukan sijil suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seorang telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara.

“Yang telah kita tuduh ada 10 orang dan yang telah didapati bersalah seorang.

“Pecahan mengikut negeri ialah Kelantan (satu), Melaka (dua), Sarawak (empat), Perak (satu) dan Sabah (dua), jumlahnya 10 orang, dan seorang yang telah dihukum penjara itu kes di Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN- Setiu) yang meminta menteri menyatakan tindakan yang akan dikenakan ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin.

Katanya, mereka yang bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Kanun Keseksaan yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: