KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan judi dalam talian yang beroperasi di sebalik pusat snuker di Taman Cahaya, Ampang Jaya dekat sini dan menahan empat individu termasuk dua penjaga premis, semalam.
Menerusi serbuan kira-kira jam 7.15 malam itu, polis menemui lima unit komputer riba dan enam tablet komputer di ruang hadapan premis yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata dua penjaga premis terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh berusia 25 tahun dan seorang wanita Indonesia berusia 26 tahun ditahan dalam serbuan itu.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, terdapat dua lelaki tempatan masing-masing berusia 39 dan 51 tahun sedang melakukan pertaruhan di dalam premis berkenaan.
"Hasil risikan mendapati premis itu sebelum ini adalah tempat sukan snuker, namun ia tidak beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.
"Premis itu kemudian diambil alih oleh penyewa yang tidak dikenali dengan membuka pusat perjudian dalam talian sejak pertengahan bulan lalu dan kegiatan itu dipercayai aktif sejak tiga minggu lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata beliau, dua lelaki tempatan yang ditahan kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan selain turut dikompaun RM1,000 atas kesalahan ingkar arahan PKP.
"Pemeriksaan mendapati dua penjaga premis warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan mereka ditahan mengikut dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 hingga 21 Februari ini.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan dalang disebalik
kegiatan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi
Terbuka 1953," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan