Khamis, 11 Februari 2021

Main bola masa PKP, 6 lelaki Bangladesh didenda RM200

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman selepas semua 
tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah taman di Damansara 
Kim pada 8.13 malam, 29 Jan lalu. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Akibat bermain bola dan berkumpul di sebuah taman pemainan awam semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), enam lelaki warga Bangladesh masing-masing didenda RM200 atau penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di sebuah taman di Damansara Kim pada 8.13 malam, 29 Jan lepas.

Mereka ialah Tusar Ahamad, 30, Md Azad Ali, 26, Md Juwel Islam, 24, Mohammad Sumon, 31, Md Alla Uddin, 27, dan Md Sharif Uddin, 23, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai.

Mereka didakwa bersama-sama telah gagal mematuhi arahan dikeluarkan ketua pengarah kesihatan, bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit dengan bermain bola dan berkumpul di taman permainan awam yang menjadi satu kesalahan bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.

Pertuduhan terhadap semua tertuduh, yang ditahan reman sejak 29 Jan lepas dikemukakan mengikut Peraturan 16(1) Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya.

Timbalan pendakwa raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala semua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan itu adalah kesalahan pertama mereka.

Tiada ulasan: