Khamis, 11 Februari 2021

Curi telefon bimbit di PKRC, 2 pesakit Covid-19 ditahan polis

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, penahanan dibuat selepas polis menerima laporan pegawai perubatan bertugas mengenai kekecohan di salah sebuah dewan PKRC MAEPS malam tadi.

SEPANG: Polis menahan dua pesakit lelaki yang sedang menjalani kuarantin kerana disyaki mencuri telefon bimbit milik pesakit lain di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), MAEPS, Serdang, Selangor malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan bertugas mengenai kekecohan berlaku dalam kalangan pesakit di salah sebuah dewan PKRC terbabit, pada 10.30 malam

Berikutan itu, Wan Kamarul berkata, pegawai dan petugas perubatan kemudian mengaktifkan kod oren dan meminta bantuan polis bertugas untuk meredakan keadaan.

“Hasil temu bual pegawai perubatan dalam kalangan pesakit mendapati berlaku kejadian kecurian telefon bimbit sebelum beberapa pesakit lain menahan dua lelaki berusia 24 dan 40-an yang juga adalah pesakit di dewan kuarantin sama disyaki terbabit dalam kejadian kecurian itu.

“Pegawai perubatan juga turut menemui empat telefon bimbit yang disyaki dicuri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dalam bangunan dan jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, kedua-dua suspek kemudian dipindahkan ke dewan lain bagi tujuan keselamatan.

“Berdasarkan rekod tempoh kuarantin, salah seorang suspek akan mengakhiri tempoh rawatan kuarantin hari ini, manakala suspek berusia 24 tahun akan dilepaskan dari kuarantin esok.

“Kedua-dua mereka akan ditahan oleh polis sebaik dilepaskan dari pusat kuarantin,” katanya.

Tiada ulasan: