PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mempertahankan kenyataan berhubung penggiat seni yang terus tertindas hasil manipulasi badan pengutip royalti, ketika menjawab tindakan undang-undang diambil Public Performance Malaysia (PPM) sebelum ini.
Presidennya Freddie Fernandez berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan sebarang tindakan undang-undang kerana apa dilakukan dan disuarakannya mempunyai asas tersendiri.
“Apa yang saya lontarkan adalah suara hati ahli kami iaitu pelaku dan penggiat seni yang sentiasa dalam keadaan tertindas hasil manipulasi beberapa badan pengutip royalti, antaranya PPM.”
Katanya, pengalaman lebih 20 tahun berjuang untuk perkara seperti ini menjadikan beliau masak dengan segala permainan badan itu.
“Pada suatu ketika saya sendiri menyokong badan-badan ini sewaktu mula ditubuhkan, tetapi apabila melihat tindakan semakin ‘gelong’ dan terlalu banyak helah berlaku, saya tidak mampu berdiam diri. Tidak mungkin saya membiarkan nasib ahli dan penggiat seni terus di perkotak-katikkan,” katanya dalam kenyataan.
PPM bertegas mengambil tindakan undang-undang terhadap Karyawan dan Freddie yang didakwa membuat kenyataan fitnah. PPM turut mendedahkan sudah menghantar pernyataan tuntutan terhadap persatuan tersebut pada 12 Jan lalu.
Pada Oktober lalu, Karyawan dan Freddie mendakwa terdapat penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti yang diterima daripada pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan persembahan awam di mana tidak disalurkan kepada artis dan pencipta-pencipta lagu.
Freddie turut menasihatkan PPM supaya “tidak menjolok sarang tebuan”, yang baginya akan membawa padah kepada PPM dan industri muzik secara keseluruhannya.
Peranan PPM dalam kemelut royalti artis adalah sangat besar kerana sudah melantik dua pengerusi namun masih gagal menjalankan tugas seperti diharapkan.
“Ada banyak lagi perkara yang saya boleh bawa ke perhatian SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tentang syarikat rakaman tetapi saya rasa lebih baik kita duduk semeja untuk bincang satu penyelesaian yang baik demi masa depan industri muzik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan