Selasa, 9 Februari 2021

Kelab malam, bawa lebih penumpang antara 950 kesalahan ingkar SOP PKP 2.0

Herman Hamid
Penguatkuasaan SOP penting bagi membantu membendung penularan COVID-19. GAMBAR: Abd Razak Aid

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memang tidak sama berbanding PKP kali pertama pada Mac tahun lalu.

Namun, awas! Ini bukan bermakna penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) untuk PKP 2.0 dilakukan dengan longgar.

Buktinya, 950 individu diambil tindakan kerana ingkar SOP PKP semalam – antara jumlah tertinggi yang pernah direkodkan setakat ini.

Bahkan, antara yang dikenakan tindakan kerana keingkaran itu termasuk aktiviti pusat hiburan selain ingkar perintah kuarantin dan membawa penumpang berlebihan.

Ingat, jangan pernah cuba-cuba kerana SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah untuk dipatuhi demi memutuskan penularan COVID-19.

Keseluruhannya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 950 individu yang ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam, 838 dikompaun, 93 direman manakala 19 lagi dijamin.

Ismail Sabri Yaakob/ Gambar FB MKN

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (217), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (209), tidak memakai pelitup muka (180), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (117) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (41).

“Turut diambil tindakan, aktiviti pusat hiburan (39), keluar rumah tanpa alasan munasabah (30), membawa penumpang berlebihan (19), ingkar perintah kuarantin (15) dan lain-lain (83),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Palsu!! Siapa kata restoran di kelab malam, pub dibenar beroperasi?

SOP: Keluar rumah tanpa alasan munasabah, 29 dikompaun

Menurut Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 63,635 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Katanya, ia melibatkan seramai 3,027 Pasukan Pematuhan melibatkan 13,126 anggota telah membuat pemantauan di 5,360 buah restoran, pasar raya (3,901), bank (3,684), penjaja (2,442), kilang (1,506) dan pejabat kerajaan (681).

“Turut dipantau ialah 1,011 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (240) dan terminal pengangkutan udara (75),” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di taman-taman oerumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin bermula 9 sehingga 22 Februari 2021.

Ia melibatkan 18 kawasan perumahan dengan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 buah rumah tetapi PKPD itu tidak melibatkan Bandar Satelit

“Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 13 kes positif telah direkodkan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid AlMuadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman ini.

“KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak yang melibatkan komuniti dimana 13 kes tersebut telah direkodkan dalam masa 10 hari.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal melalui saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokalitilokaliti ini dan untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti di kawasan tersebut,” ujarnya.

Tiada ulasan: