KUALA KANGSAR: Unit Tindakan Khas (UTK) menambah aset terbaharu bagi mempertingkat aspek menangani dan menentang pengganas di Lembah Klang dengan pembelian 24 unit motosikal BMW R1250 GS akhir tahun lalu.
Komander UTK Mohd Khairi Khairuddin berkata, pengunaan aset itu akan membantu menggerakkan anggota dengan lebih pantas selain penggunaan kenderaan sedia ada iaitu Rapid Intervention Vehicle (RIV) bagi operasi anti pengganas.
“Sebelum ini, kita menggunakan kereta tetapi di kawasan bandar dengan keadaan jalan yang sesak terutama pada waktu puncak, penggunaan motosikal lebih sesuai.
“Seramai 12 anggota RAT (Rapid Assault Team) ditugaskan setiap hari dengan penugasan melibatkan kawasan Kuala Lumpur kerana kita berpusat di sini, tidak di negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program jeneral turun padang sempena Op Covid-19 perintah kawalan pergerakan (PKP) di sekatan jalan raya Tol Kuala Kangsar.
Sementara itu, mengulas pelaksanaan program berkenaan Mohd Khairi berkata, ia dijalankan bagi melihat aspek kebajikan pegawai dan anggota bertugas selain memberi semangat kepada mereka di lapangan.
“Tujuan lawatan ini juga adalah memberi motivasi kepada anggota kerana kita faham mereka telah bertugas agak lama sejak PKP dilaksanakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan