Selasa, 2 Februari 2021

Belia perlu kuasai perubahan teknologi agar kekal relevan - Yayasan Peneraju

BH ONLINE
Belia perlu meningkatkan kemahiran dalam aspek berteraskan data berikutan majikan kini semakin beralih kepada automasi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail. - Foto hiasan NSTP
Belia perlu meningkatkan kemahiran dalam aspek berteraskan data 
berikutan majikan kini semakin beralih kepada automasi, kata Ketua 
Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan 
Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Kalangan rakyat Malaysia khususnya Bumiputera yang menguasai pengetahuan serta kemahiran teknologi tepat, mempunyai kelebihan untuk mendapat kerja ketika tempoh sukar pandemik COVID-19 berikutan tindakan kebanyakan sektor mempercepatkan aspek digitalisasi masing-masing.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail, berkata adalah wajar bagi golongan itu bertindak meningkatkan kemahiran atau dilatih agar lebih cekap, berpengetahuan serta mahir dalam aspek berteraskan data.

Ini penting kerana tiada sebarang gambaran tepat mengenai apa yang bakal dihadapi oleh generasi milenial dan siswazah pada masa hadapan, terutama dengan peningkatan bilangan penganggur, didorong oleh langkah majikan mengutamakan penggunaan automasi yang mengambil alih tugas manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju 
Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), 
Mohd Muzzammil Ismail.

"Mereka perlu bersedia berdepan hakikat bahawa kerja idaman mereka mungkin tidak lagi wujud pada masa depan. Oleh itu, mereka perlu bangkit untuk berubah dan mendalami kemahiran dan memberi respons terhadap perubahan yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai perkongsiannya di Forum Kewangan, Perbankan dan Pelaburan (FBI) Profesional Peneraju 2021 secara maya, hari ini.

Lebih 400 orang menyertai forum itu termasuk kalangan penerima manfaat Yayasan Peneraju sedia ada dan baharu termasuk daripada program Penganalisis Kewangan Bertauliah Profesional Peneraju (CFA), program Pengurus Risiko Kewangan Profesional Peneraju (FRM) dan empat program baharu iaitu Pengamal dan Penasihat Syariah Bertauliah, Jurubank Bertauliah, Juruaudit Dalaman Bertauliah dan Pemasar Digital Institut Pemasaran Bertauliah Profesional.

Mohd Muzzammil berkata, Malaysia ketika ini kekurangan bilangan CFA dan FRM dengan hanya 800 CFA dan 93 FRM berdaftar dengan masing-masing hanya 115 dan 15 orang daripadanya adalah Bumiputera.

"Yayasan Peneraju sentiasa menekankan kepentingan untuk melahirkan generasi masa depan yang serba lengkap dan bersedia untuk menyumbang kepada sosio-ekonomi negara kita," katanya.

Yayasan Peneraju adalah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kesesuaian bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui program pensijilan akademik, vokasional, profesional serta pakar.

Sejak penubuhannya sembilan tahun lalu, ia sudah mewujudkan lebih 35,000 modal insan terutama golongan belia dalam pelbagai bidang melalui 261 program pembiayaannya selain mengagihkan peruntukan sebanyak RM716 juta.

Maklumat mengenai penawaran program pembiayaannya boleh diperolehi menerusi www.yayasanpeneraju.com.my BERNAMA

Tiada ulasan: