Sabtu, 14 November 2020

Tompokan lendir busuk ancam mata pencarian nelayan Kampung Melayu

Ernalisa Othman
Tompokan lendir busuk ancam mata pencarian nelayan Kampung Melayu
Tompokan hijau yang dipercayai terhasil akibat pencemaran itu turut dikesan di 
sepanjang Sungai Tebrau, muara dan kawasan jeti Sungai Melayu. -Gambar/ Bernama
 
ISKANDAR PUTERI: Baunya bukan sahaja busuk, malah kehadiran tompokan seakan-akan lumut di kawasan sungai di Kampung Melayu di Gelang Patah menyebabkan air bertukar menjadi merah kehitaman.
 
Tinjauan Astro AWANI mendapati tompokan hijau yang dipercayai terhasil akibat pencemaran itu turut dikesan di sepanjang Sungai Tebrau, muara Sungai Melayu dan kawasan jeti Sungai Melayu.
 
Nelayan tempatan mendakwa fenomena berkenaan turut menyebabkan hasil tangkapan mereka berkurangan dengan mendadak.
Ketua nelayan Kampung Melayu, Kamarudin Ahmad berkata kehadiran tompokan lumut seperti itu pernah terjadi beberapa bulan lalu dalam kuantiti yang sedikit.
 
Namun, katanya, kali ini saiz tompokan lumut itu lebih besar serta mengeluarkan bau kurang selesa.
"Sebenarnya jenis air merah selalu berlaku tapi tak keluarkan lendir busuk... memang terjejaslah hasil tangkapan nelayan.
 
 
"Memang selalunya kalau jadi macam ini, hasil tangkapan hilang.
 
"Bukan minta simpati, tapi itulah realitinya," katanya yang sudah menjadi nelayan selama 30 tahun.
 
Nelayan mendakwa, fenomena berkenaan turut menyebabkan hasil tangkapan mereka berkurangan.
 
Nelayan mendakwa, fenomena berkenaan turut menyebabkan hasil tangkapan mereka berkurangan.
Seorang lagi nelayan, Hairol Nizam Shahrom berkata dia tetap ke laut untuk mencari rezeki dengan 
menjaring ikan walaupun menyedari hasilnya tidak seberapa.
 
"Macam tadi (semalam) dua ekor sahaja dapat ikan sembilang... selalu dapatlah enam sehingga 20 kilogram. Biasanya tak seteruk ini," katanya.
 
Astro AWANI dimaklumkan keadaan itu menjejaskan pendapatan lebih 106 nelayan laut, 20 penternak kupang dan enam penternak ikan sangkar di sepanjang 15 kilometer Sungai Melayu.
 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Noraishah Hashim, berkata tompokan yang dikesan itu berpunca daripada fenomena 'euthrofication' atau permukaan sungai dipenuhi alga berpunca daripada kehadiran mineral dan nutrien berlebihan.
 
Beliau berkata fenomena itu dikesan terjadi di sepanjang 10 kilometer kawasan perairan Pendas hingga ke Sungai Melayu.
 
"Fenomena 'euthrofication' ini terjadi berkemungkinan disebabkan kehadiran kandungan nitrat dan fosfat menerusi pembuangan domestik atau kumbahan.
 
"Ia juga boleh berlaku akibat perubahan cuaca yang drastik seperti hujan, panas terik dan hujan semula hingga menyebabkan pengkayaan nutrien di dalam air.

Tiada ulasan: