Malang jika ada yang kata larangan jual arak beri kesan negatif pada ekonomi
BANGI – Kebenaran untuk orang bukan Islam minum arak bukan sebagai hak, tetapi hanyalah keistimewaan.
Justeru, tidak sepatutnya timbul hak orang bukan Islam meminum arak dinafikan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan peraturan baharu penjualan alkohol di kedai runcit dan serbaneka.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setiap keistimewaan boleh dikawal, ditarik balik ataupun dihazarkan.
“Jika kita bercakap mengenai hak minum arak, pasti tidak akan mendapati mana-mana undang-undang secara spesifik memberikan hak kepada sesiapa pun meminum arak.
“Malah, hak tidak diberikan secara semborono, ia sudah pasti akan menghakis hak orang lain pula yang akhirnya akan memberi impak negatif kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Menulis di Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal berkata, tindakan DBKL bukan suatu larangan kerana minuman alkohol masih dibenarkan dijual di restoran bukan Islam, bar serta hotel.
Peraturan baharu DBKL itu hanya untuk mengurangkan akses pembelian arak kepada orang awam, termasuk pihak tidak sepatutnya seperti orang Islam dan kanak-kanak, katanya.
“Amatlah malang apabila ada yang menyatakan kawalan itu akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan mengurangkan cukai.
“Ia memberi gambaran seolah-olah negara sangat bergantung kepada hasil penjualan arak bagi membangunkan negara,” katanya.
Terdahulu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa minggu lalu.
Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.
Serentak itu, Zainul Rijal menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain supaya meneladani tindakan DBKL yang jelas mahu mensejahterakan rakyat.
“Tindakan DBKL bukanlah langkah yang mundur tetapi menjaga maslahah yang lebih besar.
“Ia juga sejajar dengan pendirian kerajaan menaikkan hukuman kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian,” katanya.
Biarpun ramai pihak menyambut baik keputusan DBKL, pemimpin parti cauvinis dilaporkan cuba menentang apabila Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mendakwa, peraturan baharu itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Dakwanya, peraturan itu juga dilihat ‘antiperniagaan’ dan yang menjadi korban adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai.
Menurut Kok Wai, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon supaya garis panduan baharu itu ditarik balik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan