Rabu, 11 November 2020

Teliti semula kebenaran keluar wang KWSP – CAP

Oleh KHUZAIRI ISMAIL
MOHIDEEN ABD. KADER

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya meneliti semula cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang simpanan mereka.

Presidennya, Mohideen Abd. Kader berkata, wang itu sepatutnya adalah untuk kegunaan pencarum pada usia persaraan sekali gus perlu dilindungi.

Apatah lagi, ujar beliau, data menunjukkan daripada seramai 14.59 juta pencarum KWSP, 32 peratus pencarum KWSP (4.7 juta) mempunyai baki kira-kira RM1,000 manakala 10 peratus (1.5 juta) mempunyai baki kira-kira RM5,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka.  

Dalam perkataan lain, tambahnya, dianggarkan 6.2 juta (42 peratus) pencarum KWSP ketika ini tidak mempunyai RM6,000 untuk dikeluarkan. 

“Andaikan mereka kembali bekerja selepas pandemik, bersara pada usia 60 dan meninggal pada usia 76 tahun iaitu purata jangka hayat rakyat Malaysia, mereka tidak akan mempunyai wang bagi lebih sedekad,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Mohideen, CAP juga membantah pengeluaran KWSP kerana bakal kehilangan manfaat dividen yang dijanjikan kerajaan sekali gus menyebabkan simpanan mereka berkurang apabila bersara.

“Dengan meminta orang ramai meneruskan kelangsungan hidup menggunakan dana persaraan sendiri samalah seperti seorang bapa meminta anak-anak memecahkan tabung simpanan jika mahukan makanan seterusnya,” katanya.

Sebagai alternatif, tambah beliau, CAP menggesa kerajaan menyediakan pakej rangsangan ekonomi dengan pelan memperluaskan bantuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan daripada meminta menggunakan simpanan untuk merangsang ekonomi. – UTUSAN

Tiada ulasan: