Jumaat, 13 November 2020

‘Takut mati’: Dr Zulkifli bela Dr Noor Hisham

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipercayai memiliki semangat tidak ‘takut mati’ sebagaimana juang ditunjukkan para Sahabat Nabi ketika berusaha menawan Kota Konstantinopel.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengungkapkan keyakinan itu disebalik dakwaan Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing, semalam.

Beliau memetik kisah para Sahabat R.A yang menawar diri menyusup masuk dalam pasukan tentera Rom telah ditanggapi secara salah dengan memetik ayat 195 surah al-Baqarah hingga dijawab Abu Ayyub al-Ansari R.A.Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipercayai memiliki semangat tidak ‘takut mati’ sebagaimana juang ditunjukkan para Sahabat Nabi ketika berusaha menawa

“KP Kesihatan (Dr Noor Hisham) sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau. Beliau adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah negara.

“Kisah (para Sahabat R.A itu) sentiasa tersemat di hati saya dan menjadi pegangan hidup saya. Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan negara, kita tidak akan berundur!

“Saya percaya, itulah semangat KP Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu ‘takut mati’,” ujar bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Menurut beliau, konsep kematian dalam Islam amat mudah di mana mati itu akan menjengah makhluk pada sebarang masa dan hanya Allah S.W.T sahaja yang Hidup Kekal Abadi.

Jelas beliau juga, seorang Muslim tidak takut mati, sebaliknya sentiasa digalakkan untuk mengingati mati dengan merasa risau dan takut kepada amalan diri sendiri yang bakal dibawa bertemu Allah S.W.T.

Beliau memetik hadis betapa sebaik manusia adalah paling bermanfaat bagi mahusia lain dan berharap dengan mewakafkan seluruh hidup pada manusia lain akan memperolehi ganjaran disebut Nabi itu.

Sementara itu dalam sidang media hariannya semalam, Dr Noor Hisham berkata, tidak timbul isu takut mati dalam melaksanakan tugasnya untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini sebagaimana didakwa itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) ujarnya, sudah membuat perancangan khusus untuk Sabah dan beliau sendiri pergi ke negeri itu pada akhir Ogos lalu untuk melihat pengurusan dan kesiapsiagaan KKM terutamanya bagi Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Saya juga telah arahkan timbalan saya Datuk Dr Chong Chee Kheong untuk turun bersama minggu lepas. Tan Sri Jemilah Mahmood (Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam) juga turun dua minggu lepas untuk melihat pengurusan dan isu-isu di Sabah.

“Tidak timbul isu kita takut mati. Kita sebagai orang Islam, kita terima kematian itu boleh berlaku di mana-mana, bukan hanya turun padang ataupun tidak,” katanya dilapor Bernama.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata tindakan yang penting ialah niat untuk melaksanakan tugas dan untuk memutuskan rantaian COVID-19 dalam negara.
 
“Kita boleh selisih pendapat, tetapi apa yang kita laksanakan ialah memutuskan jangkitan COVID-19 dalam negara supaya dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes COVID-19 dan juga kadar kematian,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat semalam kecoh susulan kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati” dikeluarkan Dato’ Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021. 

Tiong mempersoalkan Dr Noor Hisham yang tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung televisyen. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: