Sabtu, 21 November 2020

Staf ambulans CPM Uncle Kentang kongsi pengalaman selamat nyawa ketika kecemasan.

Pembantu perubatan ambulans Community Policing Malaysia (CPM) Amirul Ikmal 
Haris Abd Aziz (kanan) dan ketua pemandu Mohd Fazli Ajid @ Aziz (2 dari kiri) 
menempatkan seorang wanita ke dalam ambulans mereka.

PUCHONG: Ambulans bergegas dan berhenti di hadapan sebuah bangunan flat.

Pegawai medik dan pemandu segera menaiki tangga ke tingkat 1 unit itu. Seorang pesakit strok dilihat terbaring di atas lantai ruang tamu rumah selepas dilaporkan terjatuh.

Jiran pula berkerumun dan cuba mengintai petugas yang memberi pertolongan cemas kepada wanita yang mengalami pendarahan dan tidak sedarkan diri itu.

Dengan mengusung wanita itu menggunakan tandu, mereka berhati-hati menuruni tangga sebelum memasukkan mangsa ke dalam ambulans untuk dihantar ke hospital tempatan.

Mereka kembali ke pangkalan di Puchong hanya untuk beberapa minit bagi menguruskan tugasan membawa seorang pesakit lain dari sebuah hospital ke hospital lain.

Meskipun sibuk, namun bekerja untuk perkhidmatan ambulans kebajikan yang dikendalikan oleh Community Policing Malaysia itu menjadi kepuasan buat pasukan medik dan pemandu terbabit.

Pemandu CPM, Shahrul Nizam Zainal Abidin melakukan rutin 
pemeriksaan harian pada ambulans di luar pangkalan mereka 
di Puchong.

Perkhidmatan ambulans itu merupakan salah satu daripada unit aktivis sosial Kuan Chee Heng – yang lebih dikenali ebagai Uncle Kentang – yang disediakan untuk isi rumah berpendapatan rendah yang memilih untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan kerana tidak mampu menanggung kos perjalanan.

Ditubuhkan pada 2016, NGO itu kini menggaji 4 orang pegawai medik dan 5 pemandu yang sentiasa bersedia untuk situasi kecemasan, memindahkan pesakit antara hospital dan menghantar mereka untuk pemeriksaan perubatan dan temu janji.

Dibahagikan kepada 5 pasukan yang bekerja dalam 2 syif, perkhidmatan 8 ambulans itu menerima sekitar 50 panggilan setiap minggu – kebanyakannya di kawasan Serdang dan Puchong.

Syif 9 jam itu bermula pada pukul 8 pagi bagi sebahagian besar kakitangan terlibat, dengan pemandu memeriksa keadaan kenderaan dan pegawai medik memastikan stok bekalan perubatan mencukupi.

Sambil bersarapan sebelum menjawab panggilan hari itu, tugasan mereka, antara lain, membawa pesakit tenat pulang ke kampung halaman yang kadang kala jauh sehingga ke Kelantan dan Terengganu.

Walaupun kebanyakan pesakit benar-benar berlatar belakang yang sederhana dan dikecualikan daripada caj perkhidmatan minimum biasa, perkhidmatan mereka bagaimanapun kadang-kadang disalah guna.

Pembantu perubatan Amirul Ikmal Haris Abd Aziz menceritakan kejadian ketika mereka bersetuju untuk menghantar seorang pesakit pulang dari hospital selepas mengaku semua wangnya habis digunakan untuk kos rawatan.

Amirul sudah berkhidmat dengan CPM selama 4 tahun.

Kuan selalu memberikan perkhidmatan percuma kepada pesakit yang tidak mampu.

“Saya terkejut bila sampai di rumah. Wah! Banglo. Wah! Ada Ferrari… dan 3 Ducati,” kata Haris yang berusia 25 tahun itu sambil tersengih lebar.

“Pesakit itu kata itu adalah rumah abangnya, tetapi bila kami bertanya kepada abangnya itu, dia kata itu adalah rumah untuk pesakit.

“Sudah banyak kali orang ambil kesempatan ke atas perkhidmatan kita, jadi kalau boleh kita cuba elak,” katanya.

Haris berkata, pelanggan yang menipu, pesakit yang agresif dan pemandu yang pentingkan diri sendiri adalah antara cabaran terbesar yang pernah dihadapinya.

Bagaimanapun katanya, cabaran paling sukar itu adalah membantu memastikan emosi pesakit terpelihara.

Haris turut mengaitkan kisah ketika beliau menjawab satu kes kemalangan di lebuh raya Damansara-Puchong dan terpaksa membawa seorang penunggang motosikal yang cedera ke Hospital Serdang.

Mangsa berusia 20 tahun itu tidak lama kemudian mula tidak sedarkan diri, nafas berhenti dan tiada denyutan nadi. Usaha untuk memulihkannya dengan bantuan pernafasan (CPR) ternyata tidak berjaya.

Tiba-tiba, telefon mangsa mula berdering dan merupakan panggilan daripada ibunya.

“Sangat susah bagi saya untuk beritahu pasal anaknya,” kata Haris. “Ibunya mula menangis dan walaupun air mata saya turut mengalir, saya kena kawal (perasaan) sendiri.

“Sedih bila ibu itu menangis … Seolah-olah ibu anda sendiri yang menangis. Jadi kita kena tabah. (Bekerja di sini) benar-benar bermain dengan emosi kita.”

Kakitangan itu juga bercakap mengenai rasa tanggungjawab terhadap pesakit dan kepuasan yang diperoleh daripada pekerjaan mereka.

Kedua-duanya adalah tema yang berulang-ulang didengari semasa FMT meluangkan masa untuk mengikuti pasukan itu menjalani rutin harian mereka.

Kerja berpasukan dan persahabatan dalam kumpulan itu jelas. Pegawai medik dan pemandu bergilir setiap hari bagi membolehkan semua ahli kumpulan yang rapat itu belajar tentang rutin kerja masing-masing.

Semasa waktu rehat, mereka sempat berkumpul makan di restoran di bawah bangunan pejabat mereka, menikmati minuman di pantri atau bergurau senda di ruang rehat pejabat.

Terletak di tingkat 2 di sebuah blok bangunan di Puchong, pejabat itu malah tidak mempunyai papan tanda untuk memberitahu penduduk kawasan itu mengenai perkhidmatan ambulans.

Namun, iklan yang terbaik adalah maklumat dari mulut ke mulut.

Ketua pemandu ambulans, Fazli sebelum ini mempunyai 
pengalaman 5 tahun memandu ambulans di KLIA.

Situasi itu tidak jauh bezanya bagi ketua pemandu Mohd Fazli Ajid @ Aziz, 42, yang berpengalaman memandu ambulans di KLIA selama 5 tahun.

Selain mengajarnya teknik memandu yang betul, waktu yang dihabiskannya di lapangan terbang itu membolehkan beliau belajar CPR dan membiasakan diri dengan ambulans dan peralatannya.

Fazli bercakap tentang rasa tanggungjawab sebagai seorang pemandu, menyedari bahawa dalam situasi kecemasan, nyawa pesakit bergantung padanya untuk sampai ke lokasi – dan membawa mereka ke hospital – tepat pada waktunya.

Beliau berkata pemandu ambulans selalu berdepan dengan penunggang motosikal yang enggan memberi laluan atau orang lain yang suka mengekori ambulans.

Katanya, beliau akan cuba mengatasi situasi itu dengan tenang.

“Apa pun cabaran yang kita hadapi di jalan raya … nyawa pesakit dalam tangan kita,” katanya. “Kita perlu selalu perhatikan persekitaran ketika memandu. Kita tidak boleh hilang fokus.

“Saya tak kisah kalau sdimarahi oleh ahli keluarga pesakit kerana lambat, yang paling penting saya selamatkan pesakit.”

Perkhidmatan ambulans CPM boleh dihubungi di talian 011-55052148.

Tiada ulasan: