Isnin, 16 November 2020

Sindiket edar ketum dengan lori

 Oleh NOOR HASLIZA NUSI

SOFFIAN Santong (depan) menunjukkan air ketum yang dirampas polis dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI

GEORGETOWN: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran air ketum membabitkan seorang lelaki dengan menggunakan pengangkutan lori dan merampas 980 bungkusan minuman itu di Jalan Sungai Pinang, di sini kelmarin.

Suspek lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dipercayai ketika dalam perjalanan mengedar bungkusan minuman tersebut kira-kira pukul 2.30 pagi 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan ke atas suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu dilakukan ketika operasi rondaan balai di kawasan berkenaan dan merampas 28 bungkusan besar plastik hijau di dalam kenderaan terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai 35 bungkusan air ketum yang diisi dalam setiap bungkusan plastik yang diletakkan di bahagian belakang lori berkenaan.

“Setiap bungkusan cecair mitragynie atau air ketum ditemui sudah berikat dengan getah dan hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa anggota polis ke sebuah rumah di kawasan Permatang Damar Laut di daerah Barat Daya.

“Di kediaman tanpa penghuni itu, kita merampas 144 bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi daun-daun kering disyaki daun ketum bersama peralatan untuk memasak minuman tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan RM12,315,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut di sini semalam.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut polis mendapati cecair ketum itu dipercayai diproses oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an.

“Polis sehingga kini masih memburu wanita tersebut dan ujian saringan air kencing ke atas suspek yang sudah berkahwin itu mendapati negatif bahan terlarang.

“Lelaki terbabit kini ditahan di Lokap IPD Timur Laut untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: