Jumaat, 13 November 2020

Seni anyaman tikar tiada pewaris

Oleh TOREK SULONG

NIK ASIAH Nik Chik (dua dari kiri) mengajar cara menganyam tikar kepada penduduk di rumahnya di Kampung Bukit Tanah, Pasir Puteh, Kelantan.

PASIR PUTEH: Suatu ketika dulu, rumah pengusaha tikar mengkuang, Nik Asiah Nik Chik, 54, di Kampung Bukit Tanah, Gong Kulim di sini, menjadi tumpuan orang ramai yang mahu mempelajari seni anyaman dipanggil ‘kelarai’ bagi menghasilkan tikar mengkuang.

Kehadiran pengunjung ke rumahnya bukan sekadar penduduk setempat malah melibatkan orang luar terutama gene­rasi muda seperti para penuntut fakulti pendidikan seni serta ahli persatuan seni dari seluruh negara.

Usaha wanita itu turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) yang menyalurkan sumbangan RM35,000 bagi pembinaan bengkel anyaman yang lengkap dan selesa.

Bagaimanapun, kata Nik Asiah, usahanya untuk berkongsi ilmu berkaitan seni anyaman kelarai kepada golongan belia itu terencat sehingga kini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Rumah dan bengkel anya­man saya kini sepi selain proses penghasilan dan penjualan tikar turut terjejas.

“Diharap keadaan ini tidak lama kerana saya khuatir pewaris seni anyaman tikar mengkuang mungkin pupus jika tiada siapa sudi mempelajarinya lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Kata Nik Asiah, sebidang tikar mengkuang dihiasi seni anyaman kelarai bukan sahaja indah dipandang, malah perlu dihargai kerana dihasilkan me­lalui ketekunan pembuat tikar yang menggunakan kemahiran tangan semata-mata.

“Kemahiran menganyam membawa saya ke Istanbul, Turki pada 2017. Saya diberi peluang mengadakan pameran tikar mengkuang yang saya hasilkan di samping diminta melakukan demonstrasi menganyam tikar di negara itu.

“Malangnya, pada tahun ini semua negara mengamalkan dasar tutup pintu kerana Covid-19 menyebabkan usaha mempromosi tikar mengkuang di pasaran antarabangsa terbantut. Mungkin kita perlu memperhebat promosi secara dalam talian,” katanya.

Antara inisiatif digerakkan Nik Asiah sebelum ini ialah me­nubuhkan kumpulan anyaman di kampungnya bagi membantu menjana pendapatan sampi­ngan kepada suri rumah.

Wanita itu mahir dalam pelbagai variasi seni anyaman kelarai seperti bunga cengkih, pecah lapan, bunga beremban, pucuk rebung, bunga cempaka, sambas dan bunga teratai.

Sebidang tikar mengkuang anyaman tangan hari ini dijual sekitar harga RM50 namun hasil kreativiti seni anyaman yang unik dan menarik membolehkan tikar bersaiz lebih 10 meter tersebut mencecah harga RM500 ke atas. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: