Bernama
Jika teknologi tersebut berjaya, ia akan digunakan bagi merawat air sungai
di Selangor. - Gambar hiasan
SHAH ALAM:
Selangor sedang dalam peringkat akhir membangunkan kaedah berteknologi
tinggi yang mesra alam bagi memperkasakan usahanya menangani isu
pencemaran sungai di negeri itu.
Exco
Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas
Tani Selangor Ir Izham Hashim berkata teknologi dibangunkan dengan
kerjasama syarikat swasta dan seorang pakar air tempatan itu akan
memanfaatkan mikroorganisma yang hidup dalam air bagi mempercepatkan
pemulihan air di sungai tercemar.
"Dengan teknologi ini, pakar-pakar kami telah mengenal pasti mikroorganisma yang hidup di sungai berkenaan.
"Melalui
proses tertentu, kita akan menambah jumlah mikroorganisma itu untuk ia
bertindak sebagai penapis kepada bahan tercemar dan meningkatkan jumlah
oksigen di dalam air sekali gus membersihkan air sungai berkenaan.
"Kita
telah mencuba teknologi ini di loji rawatan kumbahan Indah Water
Konsortium di Rawang dan dalam seminggu kita boleh lihat perubahan
ketara pada warna air dan bau.
"Malah
melalui teknologi tersebut, kandungan oksiden terlarut juga didapati
meningkat dan ini akan membantu meningkatkan hidupan air dalam sungai.
"Kini
kita sedang menunggu laporan makmal terakhir dan jika berjaya, kita
akan menggunakan teknologi ini dalam merawat air sungai di Selangor. Ini
secara langsung akan mengurangkan kos untuk merawat air bagi kegunaan
pengguna," katanya dalam program bual bicara bertajuk 'Pencemaran Air:
Siapa Buat Onar' disiarkan secara langsung di laman Facebook Media
Selangor malam tadi.
Turut
menjadi panelis dalam program bual bicara itu ialah Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai, Lembaga Urus
Air Selangor (LUAS) Haslina Amer.
Pada
masa sama kata Izham, kerajaan negeri juga berdepan cabaran besar dalam
menangani isu pencemaran sungai berikutan jumlah industri dan kilang
yang banyak di dua lembangan sungai utama di Selangor iaitu lembangan
Sungai Selangor dan Sungai Langat.
Katanya,
kira-kira 6,000 kilang didirikan di lembangan Sungai Selangor manakala
dianggarkan 8,000 kilang serta industri di sekitar lembangan Sungai
Langat yang kesemuanya beroperasi secara berlesen.
Namun
jelas Izham, pencemaran air yang terjadi bukan secara terus ke dalam
sungai tetapi menerusi pembuangan sisa kimia di longkang, lurang
kumbahan serta pada anak-anak sungai jauh dari lokasi industri menjadi
antara cabaran perlu dihadapi kerajaan negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan