Rabu, 11 November 2020

Rakyat akan terima vaksin Covid-19 jika selamat, berkesan dan halal, kata mufti

 
Selain China, Malaysia sedang memuktamatkan rundingan pembangunan vaksin Covid-
19 dengan beberapa negara lain. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman berkata, Kementerian Kesihatan perlu memastikan vaksin Covid-19 berkesan, selamat dan bebas daripada unsur haram di sisi agama Islam supaya rakyat tidak menolak pengenalan vaksin itu.

“Kita perlu pastikan halal dan haramnya. Kalau vaksin ini tidak ada perkara yang haram, tidak ada najis, maka kita boleh gunakan ia dari segi syarak. Perlu pastikan ia tidak memberi kemudaratan kepada mana-mana pihak. Jika semua ini dipenuhi, maka tidak ada halangan.

“Buat masa ini, Covid-19 masih tidak ada lagi ubat, tetapi percayalah setiap penyakit pasti ada penawarnya, kecuali mati. Macam mana sekalipun, jika ia tidak memberi kemudaratan, maka ia boleh digunakan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, usaha menyelamatkan nyawa antara perkara terpenting dituntut agama Islam menerusi konsep Maqasid Syariah.

Abdul Rahman Osman.

Beliau mengulas keraguan dibangkitkan pengguna media sosial terhadap catatan Facebook Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kerana ada yang memberi pelbagai alasan terhadap pengenalan vaksin Covid-19 di negara ini kelak.

Khairy sebelum ini mengumumkan Malaysia dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin dari China.

Selain China, Malaysia sedang memuktamatkan rundingan pembangunan vaksin dengan beberapa negara lain.

Khairy yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19, berkata peruntukan sekurang-kurangnya RM3 bilion diperlukan tahun depan untuk mengimunisasi 70% rakyat negara ini.

Katanya, bekalan vaksin dijangka mula diperolehi pada suku pertama 2021 dengan petugas barisan depan ialah kumpulan pertama yang akan diimunisasikan.

Beliau menggesa kempen penerangan secara berkesan dilakukan bagi memastikan rakyat tidak menolak vaksin Covid-19 serta memberi jaminan vaksin yang bakal diperkenalkan tahun depan akan dipersetujui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, berdasarkan pengalamannya, isu hukum dalam agama Islam serta kesan sampingan vaksin dalam jangka panjang akan dibangkitkan pihak tertentu.

“Bagi isu agama, saya percaya Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengulas mengenai isu ini dan isu kedua pula, saya yakin KKM sendiri akan menjalankan ujian ketat bagi memastikan vaksin ini selamat.”

Katanya, masih terlalu awal untuk berbahas mengenai isu vaksin, tetapi vaksin adalah cara terbaik untuk menghentikan penularan Covid-19.

“Kita harap akhir tahun ini akan ada keputusan mengenai vaksin yang berkesan. Apabila ada vaksin ini, kita seru rakyat berikan kerjasama.

“KKM memang akan menilai dahulu vaksin ini, sama ada dari segi keberkesanan dan keselamatannya. Untuk kembali kepada kehidupan yang normal, vaksin adalah cara terbaik.”

Tiada ulasan: