Kuching: Sarawak membenarkan pusat tuisyen dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) yang berada di kawasan zon hijau untuk beroperasi semula mulai esok.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pemilik serta petugas di pusat tuisyen dan tadika harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sebanyak 36 daerah kini berada dalam zon hijau di Sarawak, satu daerah dalam zon merah iaitu Kuching manakala daerah Lawas, Lundu dan Miri berstatus zon kuning.
Selain itu, Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, pihaknya akan menambah baik SOP bagi sektor peruncitan dengan mewajibkan pemantauan dijalankan terhadap pemeriksaan suhu badan pengunjung ke premis terbabit.
"Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan di Sarawak sudah memantau bagaimana SOP dilaksanakan di sektor peruncitan dan mendapati alat pengimbas suhu badan automatik di premis terbabit tidak dipantau," katanya.
Menurutnya, jika tiada sesiapa yang memantau alat itu, ia tidak boleh memberi amaran jika ada individu dengan bacaan suhu badan yang tinggi memasuki premis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan