Isnin, 16 November 2020

Pesakit Covid-19 lari dari wad ditemukan di Bayan Lepas

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

BALIK PULAU: Orang ramai kecoh dengan penemuan seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari wad Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 3.20 petang semalam.

Pemuda berusia 23 itu ditemukan pengguna jalan raya di kaki lima rumah kedai di pekan Bayan Lepas, pukul 9 malam tadi selepas kira-kira enam jam laporan kehilangannya dihebahkan.

Orang awam tersebut kemudian menghubungi pasukan polis bagi memaklumkan penemuan lelaki yang wajahnya tular dalam media sosial.

Di lokasi penemuannya, lelaki yang memakai baju-T tanpa kolar, seluar pendek berwarna putih serta berpelitup muka itu dilihat hanya duduk serta bersandar pada tiang di kaki lima sebuah kedai.

Lelaki itu dibawa ke hospital dengan ambulans selepas pengesahan mengenai identiti pesakit diperoleh.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pesakit terbabit diserahkan kepada Jabatan Kesihatan negeri.

Terdahulu, lelaki yang beralamat di Kepala Batas, Seberang Perai Utara itu dilaporkan melarikan diri dari HPP dengan meninggalkan gelang merah jambu di atas katil wad. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: