Zainal Abiddin Osman
PEMBONGKARAN aktiviti haram sindiket yang menjalankan pemalsuan cop keluar masuk warga asing di pintu masuk sempadan negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan media pada minggu lalu, amat mengejutkan.
Lebih berbahaya, tindakan tidak bertanggungjawab sindiket yang dianggotai 46 individu, termasuk 27 pegawai jabatan imigresen boleh mengancam keselamatan negara.
Disebabkan perkhidmatan sindiket ini berfokus kepada pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang inginkan kemudahan keluar masuk negara melalui ejen dengan menggunakan jalan 'pintu belakang', tiada kawalan dapat dibuat dari segi kesahihan dokumen diri mereka.
Hal ini, menyebabkan tiada rekod rasmi butir peribadi dan latar belakang pekerjaan serta rekod keluar masuk dicatatkan. Hakikatnya, tindakan sindiket ini adalah sabotaj yang amat membahayakan keselamatan negara.
Apa-apa sahaja boleh berlaku jika orang asing, khususnya PATI bebas keluar masuk tanpa melalui proses pengesahan dokumen diri oleh pihak Imigresen. Mereka mungkin melakukan jenayah dan pulang ke negara asal mereka tanpa dapat dikesan. Mereka juga mungkin penyebar COVID-19, tetapi ujian saringan kesihatan tidak dapat dibuat kerana mereka bebas bergerak seperti orang biasa.
Lebih mengecewakan lagi apabila Operasi Benteng yang dijalankan pihak berkuasa keselamatan di seluruh negara selama ini berjaya menyekat kemasukan PATI akan menjadi sia-sia kerana berlaku kebolosan di pintu sempadan negara, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan klia2.
Mungkin kita masih ingat kejadian pada September tahun lalu, iaitu pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terbabit membantu sindiket membuat dan memalsukan kad pengenalan serta sijil kelahiran untuk warga China. Sindiket itu mengaut keuntungan mudah dengan penjualan MyKad dan dokumen pengenalan diri.
Kita juga tidak lupa pada Jun lalu, pembongkaran sindiket penyeludupan pendatang asing di pesisiran pantai tenggara Johor yang berpangkalan di Batam yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit dikatakan beroperasi sejak 2015. Aktiviti haram mereka mendapat kerjasama daripada beberapa anggota polis dan pegawai tentera.
Pendek kata, sindiket yang terbabit dalam pemalsuan dokumen diri dan penyeludupan orang berjaya menjalankan operasi mereka dan mengaut keuntungan lumayan adalah kerana mendapat kerjasama daripada segelintir penjawat awam yang tidak amanah dan boleh disogok dengan wang ringgit.
Tindakan sabotaj atau pengkhianatan terhadap usaha kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan negara oleh pegawai kerajaan amat dikesalkan. Memberikan laluan mudah kepada mana-mana anggota sindiket menjalankan modus operandi haram perlu dihentikan serta-merta.
(*) Zainal Abiddin Osman, Pesara pegawai kanan kerajaan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan