Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau dalam zon hijau serta kuning di negeri itu dibenarkan mengikut had kapasiti ruang utama dewan solat dengan mengambil kira penjarakan fizikal antara jemaah, bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari, berkata titah dibuat selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta Jabatan Agama Islam Perak dan mengambil kira pandangan dan maklum balas terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Shahrul Azam berkata, semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh, kuliah Dhuha, bacaan Yaasin, tahlil doa selamat dan sebagainya dibenarkan, tetapi kehadiran solat Jumaat pada masa ini hanya untuk rakyat Malaysia.
"Pelaksanaan solat fardu lima waktu secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di seluruh masjid, surau Jumaat dan surau dalam negeri ini juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan.
"Penggunaan masjid, surau Jumaat dan surau untuk solat dan aktiviti keagamaan hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN dan KKM," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Jawatankuasa Kariah atau pegawai masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dan aktiviti keagamaan yang dimulakan.
"Jabatan Agama Islam Perak akan mengemaskini status zon di negeri Perak dari semasa ke semasa berdasarkan ketetapan oleh MKN dan KKM bagi mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan