KUALA LUMPUR – Di kala pandemik Covid-19, masih lagi ada pihak yang bukan sahaja mengambil kesempatan tetapi juga bersikap tidak berperikemanusian dalam mengutip hutang tertunggak.
Malah rakyat yang terbelenggu dengan hutang lama atau lapuk diganggu pengutip hutang sehingga ada mangsa yang mahu membunuh diri, bercerai, sanggup mencuri demi melangsaikan hutang.
Menurut Presiden Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif, pihaknya sejak awal tahun menerima ratusan aduan berkaitan sikap pembeli syarikat hutang lapuk.
Pembeli hutang lapuk atau dipercayai membeli akaun-akaun peminjam bank yang gagal melangsaikan pinjaman lebih enam tahun dengan nilai begitu ‘rendah’.
Apa yang lebih membimbangkan walaupun sebenarnya menyalahi undang-undang, syarikat peminjam itu akan mendapatkan khidmat pengutip hutang pula untuk membantunya melangsaikan hutang-hutang dengan nilai berganda atau tinggi.
“Apa yang lebih memeranjatkan, mengecewakan dengan syarikat ketiga beli hutang lapuk ini pula mereka sanggup apa juga kaedah mungkin jauh lebih teruk dari bank dan ah long.
“Mereka menggunakan pengutip hutang ini untuk melakukan ugutan sesuka hati, sama ada di kawasan rumah mangsa, tempat kerja dan lain-lain tempat.
“Bukan sahaja mereka mengugut meminta bayar hutang lama dengan nilai begitu tinggi malah juga menjerit-jerit di hadapan peminjam bagi tujuan memalukan dan bagi memaksa mangsa bayar.
“Selain itu pengutip ini juga akan menyamar sebagai peguam, polis dan agensi kerajaan yang lain dengan tanpa takut melakukan penyamaran seperti ini. Mereka juga menelefon mangsa saban hari kononnya mahkamah akan menyita rumah, kenderaan serta barangan berharga lain pada tempoh tertentu.
“Kadang-kadang bagi masa tidak sampai sehari, hutang mungkin kad kredit bernilai RM3,000 tapi bila dikutip sehingga RM40,000 pun ada. Ugut kata dari bank, mahkamah, balai polis. Buat bising depan rumah.
“Kami di 4PM terima panggilan seluruh Malaysia buat aduan seperti ini, yang datang cari kami 40 kes sehari. Apa yang dilakukan oleh syarikat ketiga ini sungguh kejam lagi-lagi ada mangsa yang tidak tahan ditekan sanggup ke tahap bunuh diri.
“Bayangkan mereka sudah tidak ada kerja, kalau mampu bayar hutang lama dengan bank mesti sudah mereka bayar, siapa yang sanggup ada orang menjerit-jerit, buat gangguan serta bising sampai jiran-jiran atau raken sekerja nampak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sambung Rosland, pihaknya juga menerima aduan ada dalam kalangan pengutip hutang itu bertindak memperkenalkan mangsa dengan ah long sebagai jalan membayar hutang mereka.
“Mangsa yang tidak tahan dengan tekanan dan rasa malu kemudian mendengar cakap pengutip hutang dengan meminjam bukan dengan seorang ah long tapi dengan beberapa, kami ada terima kes sehingga 25 ah long pun ada.
“Tidak cukup bebanan dengan bank dan pengutip hutang kini tambah lagi dengan ah long, apa nasib mereka selepas itu? Lagi-lagi ketika musim PKP dan Covid-19 yang telah menjejaskan periuk nasi mereka,”katanya.
Dedah Rosland lagi, berbanding dengan kaum-kaum lain, masyarakat Melayu paling banyak menjadi mangsa kepada kekejaman syarikat ketiga ini.
“Ramai sangat, sayu saya tengok. Saya ada juga cuba bercakap dan berunding dengan syarikat pembeli hutang lapuk ini, bukan sahaja mereka ini berlagak dan enggan bekerjasama tapi sebaliknya juga seperti ‘kebal’.
“Memang susah hendak berunding dengan mereka, pada mereka tidak kisahlah janji dapat keuntungan berganda walaupun anda sedang bercakap tentang nyawa manusia,” ujarnya.
Justeru beliau memohon supaya kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia (BNM) dapat segera meneliti isu ini serta membuat kajian undang-undang pembelian hutang lapuk.
“Tolonglah, kasihan sangat tengok rakyat terbelenggu seperti ini. Banyak permasalahan lain akan perlu kita hadapi kelak jika ini tidak ditangani dengan kadar segera.
“Kami juga ingin mohon kepada polis untuk segera siasat penyamaran-penyamaran dilakukan oleh kumpulan pengutip hutang untuk menakutkan mangsa. Itu sememangnya satu kesalahan guna pakai nama agensi kerajaan untuk kepentingan peribadi, tolonglah kami mohon,” tegasnya. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan