SHAH ALAM: Loji kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang dekat sini disyaki punca berlakunya pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, siasatan awal pihaknya berlaku pembuangan cecair pelarut di lubang loji kumbahan IWK tersebut.
“Insiden pencemaran ini didapati berlaku antara pukul 7 hingga 9 pagi dan dalam tempoh sebelumnya didapati bacaan air di Sungai Gong dan Sungai Sembah adalah 0 ton.
“Kita mengesyaki wujud sabotaj di sebalik insiden pencemaran tersebut,” katanya pada perbahasan usul dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya telah membuat laporan polis bagi mencari dalang di sebalik insiden tersebut.
“Kita harap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu dikenakan tindakan yang sewajarnya
“Setakat ini empat LRA berkenaan masih ditutup dan tindakan susulan sedang dilakukan Lembaga Urus Air Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi satu kenyataan memaklumkan mengenai insiden pencemaran bau seakan pelarut dikesan di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas di empat LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 ,3 dan Rantau Panjang hari ini.
Penutupan empat LRA berkenaan berlaku hanya dalam tempoh 24 jam selepas DUN Selangor semalam meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) LUAS. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan