PETALING JAYA: Dua pakar kesihatan membantah idea membenarkan lebih daripada 2 orang dalam sebuah kereta, bimbang ia akan melemahkan usaha mengekang penularan Covid-19 melalui perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy, percaya peraturan sedia ada adalah wajar memandangkan kadar jangkitan semasa.
Lee menggesa mereka yang mahu peraturan dilonggarkan supaya bersabar, kerana langkah itu bertujuan mengurangkan bilangan orang di luar rumah.
Subramaniam pula berkata peraturan sedia ada cara yang baik untuk mengawal penyebaran virus.
Mereka mengulas keluhan Persatuan Peruncit Malaysia yang mengatakan sekatan itu menyebabkan orang ramai tidak ke pusat membeli-belah di Lembah Klang.
Persatuan itu merayu Majlis Keselamatan Nasional (MKN) membenarkan 4 orang dari isi rumah yang sama dalam sebuah kereta bagi membantu merangsang perniagaan runcit dan restoran yang perlahan.
Lembah Klang dikenakan PKPB sejak 14 Okt. Perintah itu dijadual berakhir pada 6 Dis.
Lee berkata peruncit perlu mempertimbangkan keseriusan gelombang ke-3 Covid-19, dan akur dengan arahan 2 orang dalam 1 kereta sehingga situasi bertambah baik.
“Sama-sama kita berharap tiada gelombang ke-4 atau ke-5 dan berharap akan ada vaksin tidak lama lagi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Subramaniam bimbang rakyat akan mula memintlagi kelonggaran sekiranya kerajaan membenarkan lebih dari 2 orang dalam 1 kereta.
Katanya, salah satu manfaat peraturan sedia ada adalah kanak-kanak, yang mudah terdedah dengan jangkitan, kebiasaannya akan berada di rumah.
“Sekiranya kerajaan membenarkan lebih banyak orang dalam sebuah kereta, kedai makanan segera dan restoran lain akan mula sesak dan itu akan menimbulkan bahaya,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan