KUANTAN: Jumlah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air di Pahang setakat ini ialah seluas 258,951.88 hektar, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, aspek pemuliharaan hutan dan kawasan tadahan air menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan jumlah hutan di Pahang sebanyak 57% melebihi keluasan tanah di negeri terus terpeliharan dengan baik.
“Namun, untuk mewartakan sesuatu kawasan ia bukan mengambil masa yang singkat, sebaliknya memerlukan kajian teliti… tetapi kerajaan akan mempertingkatkan usaha menambah kawasan hutan simpan di Pahang dan terbaru ialah kawasan Lubuk Yu, di Maran,” kata Wan Rosdy pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Wan Rosdy menjawab soalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan), yang ingin tahu jumlah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air di negeri ini.
Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Mohd Soffi Abd Razak memaklumkan, mereka yang memperoleh lesen pendudukan sementara (TOL) sedia maklum bahawa kelulusan itu boleh ditamatkan pada bila-bila masa.
“Apabila TOL diluluskan, mereka diberitahu bahawa tiada binaan atau tanaman kekal yang dibenarkan di tanah tersebut kerana kerajaan negeri berhak menamatkan TOL jika ada keperluan untuk mengambil semula tanah yang diberikan,” katanya.
Mohd Soffi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Tras) yang ingin tahu jika pampasan akan diberikan kepada beberapa pekebun durian Musang King, yang didakwa ditamatkan TOL bagi membina kilang pemprosesan durian di Tras, Raub kira-kira 170 km dari sini.
Chow juga bertanya jika kilang yang dibangunkan oleh Royal Pahang Durian Resources-Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (RPDR-PKPP) melibatkan kawasan seluas 10.52 hektar, memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Mohd Soffi berkata, penyediaan laporan EIA tidak diperlukan dalam pembinaan kilang tersebut kerana kawasannya kurang daripada keluasan yang diwajibkan penyediaan laporan EIA.
Selain itu katanya, Majlis Daerah Raub meluluskan kebenaran merancang (KM) pada 7 Ogos lalu selepas pihak terlibat memenuhi aspek teknikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan