KUALA LUMPUR: Oldtown White Coffee sedang berbincang dengan pihak guaman dan akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya terhadap individu yang didapati membuat tuduhan palsu ke atas syarikat itu.
Pengendali rangkaian restoran itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pengurusannya menafikan semua khabar angin dan dakwaan bahawa produknya mengandungi babi.
Tegasnya, dakwaan dalam video yang sedang disebarkan di pelbagai saluran media sosial adalah tidak benar.
"Kami juga ingin menekankan bahawa semua cawangan Oldtown White Coffee di Malaysia memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sejak 2010.
"Pensijilan halal serta peraturan yang ditetapkan bukanlah sesuatu yang dipandang ringan. Kami memastikan bahawa ramuan yang digunakan dalam makanan dan minuman langsung tidak mengandungi sebarang kandungan babi atau bahan tidak halal," katanya.
Kenyataan itu menambah, wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sudah mengunjungi cawangan berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengesahkan bahawa dakwaan terbabit adalah tidak benar.
"Kami menggesa dan memohon bantuan netizen supaya hentikan penyebaran sebarang maklumat palsu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan