Selasa, 17 November 2020

Monumen ‘ikatan cinta’ warga emas musnah terbakar

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
Rumah yang juga monumen 'ikatan cinta' pasangan warga emas, musnah dalam 
kebakaran di Felda Melor Jengka 12, Kuala Krau, Pahang.

KUALA KRAU: Pasangan warga emas, Ibrahim Mat Diah, 71, dan isterinya Jemilah Dris, 70, kehilangan rumah yang juga monumen ‘ikatan cinta’ mereka apabila ia musnah dalam kebakaran di Felda Melor Jengka 12 di sini malam semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, pasangan warga emas berkenaan serta anak mereka, Johari, 32, sedang nenyak tidur dan hanya sedar apabila mendengar jeritan kuat  jiran-jiran sebelum bingkas menyelamatkan diri.

Rumah papan dibina pada awal 1980-an berusia hampir 40 tahun yang merakam pelbagai peristiwa kehidupan suka-duka itu musnah 100 peratus dan mereka tinggal sehelai sepinggang apabila tiada barangan dapat diselamatkan.

Anak bongsu pasangan tersebut, Asri, 26, berkata, ketika kejadian ahli keluarganya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan yang mengatakan rumah terbakar.

“Ayah, ibu dan abang keluar menyelamatkan diri menggunakan pintu belakang dan tidak sempat membawa keluar sebarang peralatan rumah atau dokumen pengenalan diri.

“Mereka hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta serta motosikal yang berada di luar rumah. Walaupun kesemuanya hangus dan musnah, namun saya bersyukur kerana ahli keluarga terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka , Razak Daud.

Yang hadir sama, Ketua Unit Komuniti Wilayah Jengka, Semsassom Abdullah, Penyelaras Masjid Gabungan Wilayah Jengka, Faizal Marjan dan Ketua Peneroka Jengka 12, Mat Jamin Mat Asin.

Asri menambah, ketika kejadian dia di Terengganu kerana bekerja dan bergegas pulang ke Jengka selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya berhubung kejadian itu.

Jelasnya, ayahnya masih trauma dengan kejadian itu dan menganggarkan kerugian yang dialami keluarganya kira-kira RM80,000 yang membabitkan rumah dan semua peralatan. 

Sementara itu, Razak memaklumkan selain bantuan kewangan, keluarga terbabit juga akan ditempatkan di rumah inap desa milik Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Jengka 24 buat sementara waktu.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga berkenaan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank bernombor 156057562241 atas nama Jemilah Dris.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: