Rabu, 25 November 2020

Mengenali sejarah, budaya Orang Asli

 Oleh Matzidi Dris

MASYARAKAT Orang Asli adalah sebahagian daripada kaum Bumiputera di negara ini dan jumlah mereka sehingga Disember 2010 ialah dianggarkan 171,193 orang. Mereka juga terdiri daripada tiga suku bangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli.

TIMBALAN Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad (dua dari kiri)  mengadakan lawatan kerja ke Muzium Orang Asli di Ayer Keroh. - Foto Nur Ain Musdad
TIMBALAN Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-
Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad (dua dari kiri) mengadakan lawatan 
kerja ke Muzium Orang Asli di Ayer Keroh. - Foto Nur Ain Musdad

Setiap suku bangsa ini pula dipecah kepada enam etnik dan mereka bertutur dalam pelbagai bahasa selain dialek Melayu tempatan.

Orang Asli memiliki karya seni, kraftangan, adat resam, pantang larang yang masih dipelihara dan diamalkan sehingga kini, biarpun Malaysia sudah 58 tahun merdeka dan pesat membangun dengan arus kemodenan.

Bagi memastikan sejarah masyarakat Orang Asli tidak hilang ditelan zaman, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) menubuhkan muzium dengan bangunan asalnya adalah rumah kediaman rasmi bekas Ketua Pengarah JHEOA pada tahun 1987.

Pada tahun 1995, JHEOA membina muzium baharu dengan kos RM3.5 juta dan siap sepenuhnya pada 19 Jun 1998.

Terletak di KM24, Jalan Pahang Lama, Gombak, Muzium Orang Asli itu mengabadikan sejarah silam masyarakat pribumi Semenanjung dengan mengumpul, memelihara dan mempamerkan semula segala bentuk warisan, budaya peninggalan masyarakat mereka untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

ANTARA sudut pameran di Muzium Orang Asli Gombak. - Foto NSTP
ANTARA sudut pameran di Muzium Orang Asli Gombak. - Foto NSTP

Ia juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan sejarah dan budaya serta latar belakang masyarakat Orang Asli.

Penolong Kurator merangkap Ketua Unit Muzium, Ahmadmiswan Sohiman, berkata terdapat lapan bahagian di dalam muzium ini iaitu sudut pakaian, perhiasan, kepercayaan, adat perkahwinan Orang Asli, peralatan memburu, seni ukir dan kraftangan, peralatan muzik dan senoi praaq.

PENGUNJUNG melihat peralatan muzik orang asli yang dipamerkan di Muzium Orang Asli Gombak. - Foto NSTP
PENGUNJUNG melihat peralatan muzik orang asli yang dipamerkan di Muzium 
Orang Asli Gombak. - Foto NSTP
DUA jenis alat muzik Orang Asli, centong buluh dan gendang. - Foto NSTP
DUA jenis alat muzik Orang Asli, centong buluh dan gendang. - Foto NSTP

Beliau berkata setiap sudut menceritakan mengenai kehidupan dan budaya masyarakat Orang Asli di Malaysia kecuali sudut Senoi Praaq iaitu Pasukan Polis Hutan (PPH) yang sebilangan besarnya terdiri daripada Orang Asli.

Pasukan Senoi Praaq ditubuhkan pada tahun 1957 dan bertindak sebagai unit bebas yang berkhidmat di kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman.

ADAT istiadat perkahwinan Orang Asli yang dipamerkan di Muzium Orang Asli Gombak. - Foto NSTP
ADAT istiadat perkahwinan Orang Asli yang dipamerkan di Muzium Orang Asli 
Gombak. - Foto NSTP

Kecemerlangan membantu pasukan keselamatan menentang komunis pada masa darurat, maka pada tahun 1968 pasukan itu digabungkan dengan PPH sebagai Batalion 19 berpangkalan di Kem Kroh (kini Pengkalan Hulu) dan Batalion 20 berpangkalan di Kem Bidor, Perak.

Pada masa ini, kedua-dua Batalion itu mempunyai 2,000 anggota yang terdiri daripada pelbagai pangkat dan dikenali sebagai Pasukan Gerak Am (PGA).

SUMPIT digunakan ketika aktiviti pemburuan. - Foto NSTP
SUMPIT digunakan ketika aktiviti pemburuan. - Foto NSTP

Ahmadmiswan berkata, terdapat 1,300 jenis artifak yang mencakupi 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan diperagakan mengikut pembahagian sudut.

Beliau berkata muzium itu juga mengandungi sebuah auditorium yang dilengkapi peralatan audio visual dan boleh memuatkan 100 orang pada satu-satu masa.

Katanya, dari tahun 2013 hingga Mac 2015 seramai 35,618 pelawat mengunjungi Muzium Orang Asli dengan 13,908 daripadanya adalah pelancong asing.

Pembantu Pembangunan Masyarakat, Muzium Orang Asli, Mohd Jiwa Zulkifli, berkata kedatangan pengunjung memang tidak ramai dan kebanyakan datang dengan memandu sendiri.

Katanya, perkara ini berlaku kerana orang ramai termasuk pelancong asing tidak tahu mengenai kemudahan pengangkutan awam.

"Setakat ini, pelancong asing dari Korea adalah yang paling ramai, datang ke muzium ini, dan kami kerap menerima sehingga dua bas dalam satu masa.

"Saya difahamkan, kunjungan ke muzium ini memang wujud dalam pakej lawatan ke negara ini terutama di sekitar ibu negara dan Selangor," katanya.

Mohd Jiwa berkata pengunjung digalakkan membeli cenderamata hasil kerja tangan Orang Asli di muzium bagi membantu kaum Orang Asli yang tinggal berdekatan.

FAKTA NOMBOR:

  • 14,710 - Jumlah pelawat pada tahun 2013
  • 16,632 - Jumlah pelawat pada tahun 2014
  • 4,276 - Jumlah pelawat sehingga Mac 2015
  • 13,908 - Jumlah pelawat asing dari tahun 2013 hingga Mac 2015

Lokasi: Muzium Orang Asli Gombak, KM 24 Jalan Pahang, Gombak, 53100 Kuala Lumpur.

Waktu Melawat: Sabtu hingga Khamis - jam 9 pagi hingga 5 petang: Dibuka pada cuti mingguan dan kelepasan am

Tutup: Jumaat

Pengangkutan awam: Bas Rapid KL - Nombor U021: dari Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur - Gombak (Jalan Pahang Lama).

Tiada ulasan: