MELAKA: Kerajaan negeri menamatkan perjanjian penambakan laut Melaka Gateway bersama syarikat pemaju, KAJ Development (KAJD) Sdn. Bhd. pada 3 Oktober lalu.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat berkenaan ditamatkan perjanjian tersebut yang bermula sejak 4 Oktober 2017 kerana didapati gagal menyiapkan projek itu.
“Notis penamatan perjanjian dikemukakan kepada syarikat terbabit hari ini.
“Mereka (syarikat) juga dikehendaki menyerahkan tapak projek berkuat kuasa pada notis penamatan dikeluarkan Kerajaan Negeri Melaka,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, segala urusan berbangkit mengenai tapak projek Melaka Gateway hendaklah berhubung terus dengan kerajaan negeri.
Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial bercampur seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya adalah buatan manusia yang dijangka siap pada 2025.
Ia dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2014, yang menyifatkan projek itu dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.
Projek itu merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan