Rabu, 18 November 2020

Larang penjualan rokok di kedai runcit, serbaneka.

Harga rokok naik mulai 1 September ini.
Gambar hiasan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberi pertimbangan untuk melarang penjualan rokok di semua kedai runcit dan serbaneka juga selain daripada melarang penjualan minuman keras. Baru-baru ini, DBKL telah  memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras. 

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan. Pihak DBKL menyatakan garis panduan baru itu diperkenalkan setelah berunding dengan beberapa pihak termasuklah pihak Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja, polis, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak berkepentingan, dan badan bukan kerajaan (NGO). 

Langkah ini diambil bertujuan untuk mengawal akses dan penggunaan produk minuman keras sambil memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota terjaga serta terjamin.

Niat untuk menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai ini adalah amat di alau-alukan, namun ia perlu diperluaskan lagi kerana masih terdapat barangan di luar sana yang boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan orang ramai seperti rokok. 

Oleh itu, adalah menjadi harapan semua pihak juga larangan yang sama dapat diperluaskan dengan meliputi penjualan rokok. Sudah sampai masanya rokok-rokok tidak lagi dijual di kedai runcit, serbaneka dan lebih baik lagi disemua premis perniagaan bukan sahaja terhad di Kuala Lumpur malah disemua tempat dalam negara kita. 

Umum telah pun mengetahui mengenai bahaya yang datang akibat daripada aktiviti ketagihan merokok terutamanya dari sudut kesihatan serta pembaziran wang. Bahaya yang hadir daripada aktiviti merokok ini bukan sahaja akan mengundang bahaya kepada diri si perokok itu sendiri malah turut mengundang bahaya kepada orang sekeliling yang terpaksa bau asap.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan terutamanya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama ini yang banyak memberi pendidikan, pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya merokok seperti melalui iklan- iklan bahaya rokok serta melalui proses penambahbaikan undang-undang. Namun usaha berkenaan ibarat mencurah air di daun keladi kerana masih ramai dalam kalangan rakyat kita yang dilihat masih gemar untuk merokok.

Apa yang turut menjadi kebimbangan, ketagihan merokok ini juga dilihat telah mula menular dalam kalangan orang- orang muda dalam negara kita termasuklah mereka yang masih bersekolah.

Langkah drastik melarang penjualan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka yang telah diambil oleh pihak DBKL ini patut juga meliputi larangan penjualan rokok. Dengan mengambil kira pandangan Islam pula, kenapa tiada mana-mana pihak yang berani mengambil langkah yang sama untuk menghalang penjualan rokok sedangkan rokok juga telah diisytiharkan haram oleh Islam sama seperti minuman keras? Agak sedih melihat segelintir masyarakat kita termasuk umat Islam yang masih tidak segan silu untuk merokok secara terbuka. 

Dalam kita sibuk memperkatakan segala perkara yang jelas haram disisi agama Islam seperti minuman keras, kita juga tidak harus lupa untuk memperkatakan perihal rokok yang telah lama diisytiharkan haram dalam negara kita oleh pihak yang bertauliah.

Pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”. 

Rokok telah diharamkan kerana ia membawa bahaya kepada kesihatan diri perokok itu sendiri, menjejaskan kesihatan orang lain yang menghirup bau hasap rokok terbabit serta menjerumus kepada pembaziran masa, tenaga dan wang. Berdasarkan fatwa yang telah oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan terbabit jelas menunjukkan bahawa fatwa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut iaitu sudah lebih 20 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang.

Namun, ibarat mencurah air di daun keladi masih ada dalam masyarakat kita yang dilihat masih merokok. Adalah penting untuk semua pihak khususnya umat Islam untuk patuhi fatwa pengharaman rokok yang telah lama dikeluarkan terbabit.

 Oleh yang demikian, adalah juga ingin dicadangkan kepada pihak berkuasa dalam negara kita supaya rokok juga tidak lagi dijual di mana – mana kedai serta premis perniagaan bukan sahaja di Kuala Lumpur masalah diseluruh tempat dalam negara kita. Perlu diingatikan, merokok bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan diri perokok itu sendiri malah turut boleh memudaratkan kesihatan orang sekeliling yang idak bersalah.

(*) Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan: