Sabtu, 14 November 2020

Kes Covid-19 di Lembah Klang naik 2.5 kali ganda

Norlaile Abd Rahman
MGF12112020_PKPD-SALAK-TINGGI-16-1
Suasana di sekitar kawasan perumahan Medan 88 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. foto AFIQ HAMBALI,

PUTRAJAYA- Sebanyak 1,304 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia adalah 45,095 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 11,822.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan 567 kes, meningkat 2.5 kali ganda berbanding 224 kes semalam.

Selangor merekodkan 364 kes pada hari ini (27.9 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 202 kes (15.5 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dilaporkan pada hari ini.

Daripada 567 kes yang dilaporkan di negeri-negeri di Lembah Klang, sebanyak 488 kes (86.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster.

Sabah terus mencatatkan kes harian tertinggi 556 kes (42.6 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

“Pada hari ini, sebanyak 33 kes (2.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai (20 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Rumah Merah (3 kes) dan Kluster Tembok (2 kes),” katanya semasa sidang media hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada 1,304 kes baharu hari ini, empat daripadanya adalah kes import yang melibatkan warganegara Malaysia yang pulang dari Arab Saudi (tiga kes) dan Mesir (satu kes).

Tambahnya, setakat ini terdapat 96 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 39 kes memerluan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, terdapat satu kes kematian berkaitan Covid-19 melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 70 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Pesakit meninggal dunia di Hospital Tuaran, Sabah.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: