Sabtu, 14 November 2020

Kelantan tangguh kuliah agama 2 minggu

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan memutuskan semua kuliah agama 
dan kelas al-Quran ditangguhkan sehingga 28 Nov ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua surau dan masjid di seluruh negeri itu menangguhkan aktiviti kuliah agama bermula hari ini hingga 28 Nov.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan itu bertujuan membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai ketua agama Islam seperti diperuntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan kuliah agama di masjid seluruh negeri itu.

“Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara, termasuk di Kelantan.

“Oleh itu, MAIK memutuskan semua kuliah agama sama ada kuliah subuh, kuliah maghrib, kuliah Dhuha dan kuliah lain termasuk kelas al-Quran ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, bagi solat fardu dan solat sunat pula, ia boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua SOP pencegahan wabak Covid-19 yang dikeluarkan MAIK sebelum ini.

Tiada ulasan: